Monday, April 20, 2009
Kaedah Mokhdar disebut di MHI
"Ya, sayalah."
"Alhamdulillah. En.Mokhtar tengok tak program MHI pagi ini?"
"Pagi ini, tidak," jawab saya. Jantung saya terus berdegup, takut kalau-kalau ada pihak yang menghentam saya di MHI.
"Ada seorang konsultan 'tu .. saya lupa nama syarikatnya. Dia bawa pelajar yang cekap mencongak dan mengingat macam yang En.Mokhtar selalu buat 'tu. Dia memberitahu yang dia menggunakan kaedah Mokhdar."
Saya tergelak - seronok kerana ada bukti hidup - maksudnya bukti yang dibawa oleh seorang lain yang tidak ada kaitan dengan saya atau iklan yang selalu saya papar di akhbar. Ini membuktikan yang kaedah Mokhdar sememangnya amat bernilai dan semakin mendapat tempat.
"Ada atau tidak dia mendapat izin En.Mokhtar sebelum menggunakan kaedah ini dalam program komersial?"
Gelak saya terhenti. Barulah maksud perkataan 'konsultan' itu bermain semula dalam benak saya.
"Dari satu sudut, saya seronok sangat mendengar khabar ini. Ada orang yang gunakan, dan memangnya saya redha ia digunakan. Tapi dari sudut, ada juga rasa sedih. Saya selalu katakan kepada audien saya, gunakanlah dan ajarkan kaedah ini kepada semua, ilmu itu sedekah. Tetapi bila kenakan bayaran, ingat-ingatlah saya sama sebab saya menanggung kos dan beban hutang yang tak tertanggung kerana mempromosikan idea ini. Memang mentaliti orang kita begitu."
"Dia memang tak contact En.Mokhtar?"
"Langsung tidak. Tapi ... memang dia sebut dia guna kaedah Mokhdar?" tanya saya meminta kepastian yang lebih kukuh. Ini kerana ada kalanya orang menyangka kaedah kira cepat menerusi kaedah chunking (kira dari kiri ke kanan) adalah kaedah Mokhdar, sedangkan kaedah tersebut, walaupun tidak dimasukkan ke dalam kurikulum, telah diajar oleh guru-guru di sekolah sejak zaman sebelum merdeka lagi.
"Dia memang sebut. Dia sebut dia guna kaedah Mokhdar. Yang saya pelik 'tu, bagaimana sebuah syarikat lain boleh mempergunakan nama kaedah Mokhdar sesuka hati."
Saya gelak semula - gelak antara rasa seronok dan rasa pahit.
"Sebenarnya bila dia sebut dia gunakan kaedah Mokhdar, itu menunjukkan kejujurannya dan dia memberi penghargaan kepada saya. Tetapi yang tak seronoknya dia adalah seorang konsultan dan pastinya dia menjalankan program menggunakan kaedah saya. Dari satu sudut, ia adalah rahmat untuk masyarakat kerana ternyata kaedah yang tidak dipedulikan oleh Kementerian Pelajaran ini telah terbukti membantu pelajar-pelajar kita melonjakkan prestasi mereka. Satu sudut lagi, ia adalah seperti bencana bagi saya kerana saya yang terpaksa berhempas pulas berjuang membina dan mempromosikan kaedah ini selama lebih daripada enam belas tahun terpaksa menahan air liur melihat mereka yang telah mendapat faedah daripada kaedah ini menggunakannya pula untuk mengkayakan diri mereka mungkin semata-mata kerana mereka ada modal dan saya cuma ada air liur. Mungkin ini nasib yang perlu ditanggung oleh orang seperti saya."
"En.Mokhtar tak mahu saman?"
"Mungkin saya boleh saman dia dan TV3 kerana menggunakan nama saya tanpa izin saya. Tapi ... perkara macam 'ni memang sukar hendak diputuskan. Saya terperangkap di antara keinginan membantu bangsa saya - walaupun ia mungkin tidak diiktiraf oleh orang lain - dengan keperluan sara hidup saya dan keluarga saya. Anak-anak saya sekarang telah ada seperti mulai menyalahkan saya kerana sesuatu milik saya yang boleh memberi kesenangan dan kemewahan hidup kepada mereka telah saya serahkan begitu sahaja kepada masyarakat walaupun saya terpaksa berhempas pulas bergolok bergadai malah bergadai nyawa diri dan keluarga saya tetapi hasil kewangannya begitu mudah pula dipetik oleh orang lain - dan saya terus tidak dihargai oleh masyarakat."
"Ramai yang menghargai En.Mokhtar. Yang tidak menghargai hanya Kerajaan kita. Mungkin belum sampai masanya."
"Betul juga 'tu. Tetapi jangan terkejut kerana ada seorang pensyarah yang telah membuat pengakuan dengan jelas dan terang bahawa dia telah berubah daripada seorang yang amat lemah dalam subjek matematik dalam peperiksaan UPSR dan PMRnya dan menjadi pelajar terbaik sekolah malah bertukar ke aliran sains setelah memasuki matrikulasi, bila dia mendapati yang kedudukan kewangan saya tidak begitu baik dan syarikat saya tidak begitu established, dia telah menghantar mesej kepada saya mengandungi kata-kata meminta saya tidak mengaitkan dia lagi dengan kaedah Mokhdar."
"Jangan risau, En.Mokhtar. Anak-anak saya terus gunakan kaedah Mokhdar dan lonjakan mereka memang ketara selepas ikuti program ini, walaupun kemahiran mereka tidaklah seperti kemahiran yang ditunjuk oleh En.Mokhtar dan anak-anak. InsyaAllah, mereka tidak akan melupakan jasa-jasa En.Mokhtar."
"Sebenarnya bagi saya, mereka tidak perlulah memiliki kemahiran seperti yang saya tunjukkan walaupun jika memilikinya, tugas mereka jadi benar-benar jauh lebih mudah dan beban belajar mereka jadi benar-benar ringan. Jika setelah menghadiri program lapan hari itu mereka telah menunjukkan perubahan yang drastik dalam pencapaian mereka, itu sudah mencapai tujuan encik menghantar mereka dan tujuan saya memperjuangkan kaedah ini untuk agama, bangsa dan negara kita. Kalau nak miliki kemahiran seperti yang ada pada saya dan anak-anak, mereka kenalah hadiri kursus yang lebih banyak."
"Bila En.Mokhtar nak jalankan program ini di Utara? Saya nak hantar anak-anak saya dan nak bawa seramai mungkin rakan-rakan saya."
"Dulu memang saya selalu jalankan program ini di luar Lembah Kelang. Tapi banyak masalah. Masalah logistik satu hal, masalah duit kita dikebas oleh kakitangan curang satu hal lagi."
"Itu memang biasa."
"Betullah. Tapi sanggupkah mereka memberi makan anak isteri mereka dengan wang haram? Sedangkan mereka melihat sendiri bagaimana saya berhempas pulas berbelanja dan melakukan segala yang perlu bagi melaksanakan vision saya."
"Tak usah risau, En.Mokhtar. Allah Maha Berkuasa. Biar mereka menerima balasan yang setimpal. Beginilah, saya akan cuba hantar anak-anak saya ikuti program En.Mokhtar. Kalau nak buat di Utara, cepat-cepatlah bagi tahu saya. Kalau tidak, saya akan cuba hantar ke tempat encik."
"Terima kasih. Saya simpan nombor telefon encik dan saya akan hubungi encik jika ada apa-apa perkembangan yang perlu saya beritahu."
"Saya yang patut ucap terima kasih kepada En.Mokhtar. Saya akan hubungi En.Mokhtar lagi. Assalamualaikum."
"Waalaikummussalam."
Catatan :
Tarikh kemunculan konsultan yang membawa anak-anaknya yang menunjukkan kecekapan luar biasa di dalam pengurusan ungkapan mathematical dan mengaku memiliki kecekapan tersebut kerana menggunakan kaedah Mokhdar ialah Selasa 21hb April 2009. Selain daripada panggilan daripada bekas pengurus Bank Bumiputra cawangan Pokok Sena, Kedah, terdapat banyak panggilan dari pemanggil-pemanggil lain yang menyatakan perkara yang sama.
Tuesday, June 24, 2008
Projek rintis Kaedah Mokhdar di 10 buah sekolah di Perlis
http://more-dear.com/ (Untuk menghantar anak/jagaan/pelajar/diri mengikuti bengkel-bengkel mengasah minda matematik dan sains menerusi kaedah Mokhdar) http://www.kelabdarians.blogspot.com/ (Senarai & catatan individu yang berhijrah jadi lebih baik / mencatat kejayaan cemerlang setelah amalkan kaedah Mokhdar) http://mokhtarhjmansor.blogspot.com/ (Kisah suka duka Mokhtar Hj Mansor memperjuangkan penemuan beliau kerana melihat bukti yang amat jelas bahawa penemuan ini, sekiranya natijahnya dilaksanakan, akan meletakkan bangsa dan negara menjadi antara bangsa dan negara paling maju jika tidak pun yang paling maju). http://www.revolusibahasa.blogspot.com/ (kaitan di antara sebutan perkataan yang panjang dengan kelambatan Melayu dalam pelbagai perkara) http://www.revolusiniaga.blogspot.com/ (berbicara tentang kaitan di antara perkataan yang panjang dengan kegagalan Melayu dalam perniagaan) http://www.fihrasat.blogspot.com/ (menceritakan pengalaman-pengalaman Mokhtar bermain dengan angka di dalam kaedah Mokhdar). e-mail : mokhtarhjmansor@gmail.com atau mokhtar@more-dear.com Alamat pejabat : No 23 & 25 (Gr to 2nd Floor), Jln Pusat BCH 1/3, Bandar Country Homes, 48000 Rawang. Tel : 03-67334402; 019-2605162; 017-6521730. Fax : 0367334402. "DEMI KEMAJUAN BANGSA DAN BAHASA MELAYU YANG TERCINTA, BAHASA MELAYU HENDAKLAH DIJADIKAN SEMAKIN PADAT DAN BUKANNYA SEMAKIN LOMPONG. INI BERERTI, UNGKAPAN DI DALAM BAHASA MELAYU HENDAKLAH JADI SEMAKIN PADAT DAN PERKATAAN DI DALAM BAHASA MELAYU HENDAKLAH JADI SEMAKIN PENDEK DAN BUKANNYA MAKIN PANJANG"
Pada bulan Oktober 2006, pegawai-pegawai di Unit Matematik di Pusat Perkembangan Kurikulum, khususnya Ketua Unit iaitu Encik Wahab (kini Ketua Bahagian Kesihatan PPK), Encik Ali, Encik Mazlan dan Puan Romnah telah memberi gambaran yang kaedah Mokhdar akan diperluaskan kesemua sekolah-sekolah di seluruh negara selepas perlaksanaan program itu di 10 buah sekolah projek rintis di Perlis mendapat feedback yang memberangsangkan. Hanya dua buah sekolah yang memberi feedback negatif dan kedua-dua buah sekolah itu, walaupun tidak dinyatakan oleh mereka kepada saya, mudah sahaja bagi saya menekanya.
Dalam kes sekolah yang pertama, sejak dari awal lagi guru besar sekolah tersebut telah menunjukkan sikap negatifnya terhadap program ini. Misalnya, semasa berada di sekolah tersebut di dalam program yang disusun oleh PPK, dengan tujuan mahu mendapatkan sokongan padunya (kerana dari gaya percakapannya, dia membayangkan yang dia tidak menyenangi langkah PPK melaksanakan program ini), saya mengajaknya ke kelas pra di sekolahnya. Dalam masa lebih kurang 15 minit, dengan disaksikan oleh guru-guru pra sendiri, yang kemudiannya menyatakan kehairanannya kepada saya betapa pelajar-pelajar pra dalam kelasnya begitu cekap menyerap kaedah Mokhdar, enam daripada 25 pelajar pra tersebut telah kuasai lapan darab asas.
Malangnya guru besar meninggalkan kami semasa saya mengambil masa 20 minit tersebut untuk melatih pelajar-pelajar tersebut. Bila beliau datang semula 15 minit kemudian, saya mengambil kesempatan bertanya kepada pelajar-pelajar akan jawapan bagi lapan darab tersebut. Ternyata enam pelajar tersebut mampu menjawab dengan pantas seolah-oleh darab-darab tersebut telah dikuasai selama bertahun-tahun. Malangnya guru besar tidak memberi reaksi yang positif sebaliknya mempertikaikan apa yang saya tunjukkan dengan berkata, yang penting di dalam matematik bukan untuk dihafal tetapi untuk difahami!
"Hai, bukankah ramai pelajar Tahun 6 yang masih belum kuasai darab walaupun telah belajar di sekolah selama enam tahun?" saya bertanya soalah tersebut kepadanya. Dia tidak menjawab.
Dalam program kedua yang diadakan di Langkawi, tiba-tiba guru besar ini menghantar guru lain pula untuk mengikuti latihan kaedah Mokhdar. Kali ini seorang ustazah pula yang dihantar menggantikan guru sebelumnya sedangkan semua sekolah lain menghantar guru yang sama dan semuanya merupakan guru matematik. Bila saya tanya kenapa sekolah beliau tidak menghantar guru yang telah menghadiri program ini sebelumnya kerana perlaksanaan program Mokhdar memerlukan kesinambungan, beliau cuma menjawab tak tahu kerana beliau hanya menurut arahan guru besar.
Satu lagi sekolah yang memberi penilaian yang negatif ialah sekolah yang menghantar seorang guru yang pada hemat saya seperti mempunyai masalah tertentu. Bayangkan, pada hari saya sampai ke sekolah beliau untuk memberi pendedahan kepada guru-guru dan pelajar, beliau menyuruh saya berjumpa dengan penolong kanan sebelum program dimulakan sedangkan pada hari sebelumnya, pada sebelah petang, beliau sendiri yang menghubungi saya mengingatkan saya tentang program yang telah diatur untuk sekolah beliau yang telah diselaraskan bersama pegawai-pegawai daripada PPK.
Malah beliau hanya meninggalkan saya di depan pintu bilik penolong kanan dan saya terpaksa mengetuk sendiri bilik penolong kanan, sesuatu yang menjadi kebiasaan saya jika program yang diatur di sekolah adalah atas pelawaan saya sendiri di mana saya menerima layanan seperti seorang jurujual, paling baik, sebagai seorang jurujual yang terkenal di Malaysia. Di semua sembilan buah sekolah lain, termasuk di sekolah di mana guru besarnya bersikap hostile terhadap kaedah Mokhdar (beliau tidak ada di sekolah semasa saya sampai), semua guru dan pelajar telah siap berkumpul di dewan atau di tapak perhimpunan untuk mengikuti ceramah saya.
Saya mengetuk pintu dan belum sempat saya duduk, penolong kanan marah-marah kepada saya kerana katanya walaupun beliau menganggap yang kaedah Mokhdar adalah suatu kaedah yang amat baik, tetapi saya tidak memberinya notis yang mencukupi bagi beliau mengumpulkan guru-guru dan pelajarnya.
Saya terpingga-pingga kerana program itu telah diselaraskan bersama dengan pegawai-pegawai dari PPK dan guru-guru dari 10 buah sekolah terlibat 12 hari sebelum itu. Saya cuba memberitahu penolong kanan tersebut yang program tersebut sebenarnya telah disusun oleh PPK bersama dengan guru matematik dari sekolah beliau yang menghadiri kursus Mokhdar anjuran PPK dan saya bukannya datang sebagai seorang jurujual untuk mempromosi buku saya (jelas dari dialognya yang dia beranggapan sedemikian).
Beliau tidak mempercayai kata-kata saya dan mencari guru berkenaan. Rupa-rupanya cikgu ini tidak memaklumkan sama sekali tentang program ini kepada beliau, malah setelah dia masuk ke pejabat, saya masih tidak jelas tentang apa sebenarnya yang dituturkannya.
"Tak apalah, teruskanlah. Tapi lain kali saya tak akan benarkan lagi jika program diatur seperti ini," kata penolong kanan tersebut yang pada saya amat angkuh.
Sebagai tamu, walaupun saya sepatutnya seorang tamu kehormat, saya tidak mahu terlibat dengan perbalahan dengan guru tersebut. Saya hanya meminta diri dan terus ke kantin, tempat di mana majlis cermah diadakan. Yang ada hanyalah pelajar-pelajar tahap dua sekolah itu dan hanya ada dua orang guru yang berada di situ untuk menyelaraskan keperluan teknikal. Bagaimanapun, tidak seperti di sekolah-sekolah lain, mereka tidak mempedulikan saya sama sekali, seolah-olah kehadiran saya adalah tidak diundang.
Pada masa rehat, Penolong Kanan berkenaan datang ke kantin. Walaupun amat terkilan dengan apa yang telah berlaku di dalam pejabatnya tadi, dan walaupun dia tidak mempedulikan kehadiran saya di situ seolah-olah kehadiran saya tidak diundang sama sekali, saya rasa yang adalah tidak manis sama sekali jika saya turut bersikap meninggi diri sepertinya. Lalu saya dekati mejanya dan duduk di situ walaupun tidak dijemput duduk.
"Lain kali jika nak berurusan dengan pihak sekolah, dapatkan kebenaran dari Jabatan dulu," kata beliau. Semakin jelas kepada saya bahawa dia tidak tahu apa yang sedang berlaku sama sekali.
"Saya rasa program ini telah diatur oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, jadi apa perlu lagi saya dapatkan kebenaran dari Jabatan?" tanya saya.
"Siapa nama contact you di Kurikulum?" dia bertanya.
Saya menyebut semua nama pegawai di Unit Matematik, PPK, iaitu Encik Wahab, Encik Ali, Encik Aziz Naim, Encik Mazlan dan Puan Romnah.
"Saya tak kenal pun? Kalau mereka dari Kurikulum, tentu saya kenal," katanya lagi tanpa memandang sedikitpun kepada saya.
"Beginilah, PK. Saya excuse sekejap untuk ambil surat jemputan dari PPK."
Saya pun ke van saya (kereta saya rosak pada masa itu dan saya memerlukan RM7000 untuk membayar kos penukaran enjinnya) dan mengambil surat jemputan dari Pusat Perkembangan Kurikulum untuk menghadiri sesi-sesi workshop yang dijalankan oleh PPK bersabit dengan projek rintis Kaedah Mokhdar di 10 buah sekolah di Perlis. Jelas dalam surat itu bahawa saya adalah orang yang 'amat' penting di dalam perlaksanaan projek tersebut.
Sebaik melihat surat tersebut, saya dapat melihat perubahan riak wajah Penolong Kanan tersebut.
"Kenapa Encik Mokhtar tak cakap dari awal yang encik datang dengan Pusat Perkembangan Kurikulum?"
"Cikgu ... tak terangkan'ke? Dia wakil sekolah cikgu dalam bengkel untuk projek rintis ini, program ini telah disusun bersama pegawai PPK sejak dua minggu lepas dan semua guru telah ditugaskan untuk memaklumkan dan meminta laluan dari guru besar bagi program penerangan tentang kaedah Mokhdar ini."
"Saya memang tak tahu sama sekali," katanya.
Jelas bahawa cikgu yang menjadi wakil sekolah berkenaan telah tidak memaklumkan sama sekali kepada pihak sekolah tentang program yang telah disusun untuk sekolah itu yang telah diputuskan bersama pegawai-pegawai PPK dua minggu sebelum itu.
Apabila berlangsungnya bengkel ketiga di Aseana Resort di Langkawi pada bulan September berikutnya, barulah saya dapat mengesahkan bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dengan cikgu ini. Daripada sepuluh orang guru yang mewakili sekolah-sekolah tersebut, lapan orang amat positif dan menurut pegawai dari Unit PPK yang mempengerusikan workshop, dua orang memberi written appraisal negatif tetapi lapan orang lagi memberi written appraisal yang amat positif.
"Boleh saya lihat komen mereka?" tanya saya.
"Saya boleh berikan, tetapi you janganlah ambil hati jika komen mereka tidak serasi dengan harapan you," katanya.
"Saya berkelulusan profesional, dan amat profesional. Tak usah risau, tetapi untuk meyakinkan you, tanpa melihat tulisan mereka saya sudah dapat mengagak siapa mereka."
"Kalau betul you tahu, siapa?" dia menduga.
Saya menyebut dengan tepat nama-nama mereka.
"Macam mana you tahu?"
"Cikgu .... 'ni, semasa saya ke sekolahnya dulu saya telah merasakan seperti tindak tanduk dia sengaja mensabotaj saya, dan cikgu ..... ini pula, pada hari pertama saya menemui pengetuanya dia telah menunjukkan sikap negatif terhadap saya walaupun kami tidak pernah saling mengenali sebelumnya."
Mahu tidak mahu, pengerusi pun menyerahkan kepada saya semua catatan yang dibuat oleh sepuluh orang guru tersebut. Kesemuanya amat positif selain daripada catatan yang dibuat oleh dua orang guru berkenaan. Wakil dari sekolah yang guru besarnya bersikap negatif terhadap saya tidak membuat catatan yang negatif, beliau sekadar menerangkan yang beliau tidak begitu jelas dengan kaedah Mokhdar kerana tidak mengikuti program itu dari awal kerana untuk tiga sesi yang dijalankan bagi bengkel Mokhdar tersebut, guru besarnya menghantar tiga orang guru yang berlainan sedangkan sekolah-sekolah lain semuanya diwakili oleh orang yang sama. Malah beliau juga mencatatkan bahawa beliau sebenarnya adalah seorang ustazah dan tidak mengajar matematik (sedangkan semua guru-guru lain ditugaskan mengajar matematik di sekolah mereka).
Saya tidak berdendam sama sekali dengan guru tunggal yang menulis, "Kaedah Mokhdar tidak berfaedah sama sekali dan ia hendaklah dihentikan setakat ini sahaja and full-stop", malah saya berlagak seperti biasa dan cuba mencari kesempatan berbual dengan guru tersebut yang sebenarnya duduk di kanan saya. Tetapi apa yang berlaku pad jam 10.30 pagi hari itu benar-benar mengesahkan anggapan saya bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan guru ini.
Pada jam 10.30 pagi, kami berehat. Pada masa itu pemandu van yang saya tugaskan untuk mengambil wang RM10000 daripada hasil jualan van tersebut di Alor Setar (van itu saya jual untuk mendapatkan wang bagi menyelesaikan bayaran kepada bengkel yang membaiki kereta saya dengan menukar enjinnya) telah menyerahkan wang tersebut kepada saya. Saya masukkan wang seikat itu ke dalam poket saya di sebelah kanan dan hal ini dilihat oleh guru berkenaan yang duduk di sebelah saya.
Ketika sedang minum di suatu sudut di hotel tersebut, tiba-tiba guru berkenaan mendapatkan saya. Tanpa silu, beliau berbisik kepada saya, "Boleh tak pinjamkan kepada saya RM2000, saya minta tempoh bayar dalam masa tiga bulan. Saya nak shopping, sayang, datang ke Langkawi tak boleh shopping."
Saya memandang tepat ke wajahnya, mencari kepastian jika dia hanya bergurau.
"Serius 'ni, saya tak main-main. Dalam masa tiga bulan saya akan bayar, jika Encik Mokhtar tak percaya, saya akan bayar secara ansuran setiap kali gaji dengan memasukkan wang ke dalam akaun encik."
"Saya bukan tak nak bagi, tapi wang ini nak saya gunakan untuk bayar kos membaiki kereta saya. 'Dah dua bulan saya ke sana ke mari dengan van," kata saya. "Tapi tak usah bimbang. Mencari duit adalah tidak susah bagi saya. Nanti bila saya ada wang untuk bagi cikgu pinjam, saya akan maklumkan kepada cikgu," kata saya sambil menyembunyikan gelodak perasaan saya terhadap tingkah lagunya.
Lalu saya membuat kesimpulan bahawa cikgu tersebut adalah sebenarnya seorang yang sewel atau mempunyai masalah mental kerana bagi orang biasa, sudah tentulah tidak akan mendatangi seorang yang tidak begitu dikenali begitu sahaja dan berbisik mahu meminjam wang daripada saya dalam jumlah yang tidak sedikit. (Semasa menulis catatan ini, setelah lebih dua tahun berlalu, baru terlintas di fikiran saya, agaknya jika saya pinjamkan kepada beliau jumlah wang tersebut, mungkin dia akan terus berjumpa dengan pegawai dari PPK yang memimpin sesi pagi itu dan menarik balik tulisannya dan menggantikannya dengan, "kaedah Mokhdar amat berfaedah and there shall never be not even a halt in forwarding it to the Malaysian students!"
..... BERSAMBUNG
Sunday, May 18, 2008
Pelajar terbaik Malaysia
Pada tahun 1992, seorang pelajar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, yang berasal dari Bagan Datoh dan berbangsa Cina, membuat attachment dengan mahkamah saya di Teluk Intan. Saya hanya ingat nama pangkalnya sahaja iaitu Tan. Dalam masa tiga bulan, setiap hari beliau melaporkan diri kepada saya. Di samping mendedahkan kepada beliau segala urusan pentadbiran keadilan, malah saya pernah membawanya naik dan duduk di sebelah saya di atas bench ketika mengendalikan sebutan dan perbicaraan, boleh dikatakan habislah segala teori dalam buku Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi saya (yang membicarakan tentang kenapa Melayu tertinggal di dalam segala bidang dibanding dengan kaum Cina dan lain-lain), dan antara hasil pemikiran tersebut iaitu kaedah Mokhdar, saya perturunkan kepadanya. Saya ajar beliau kaedah ini dan segala kemahiran yang boleh dicapai menerusi kaedah Mokhdar, terutamanya kemahiran mengingat fakta-fakta angka seperti peruntukan undang-undang dan citation of cases, tarikh-tarikh, nombor-nombor anggota polis dll yang saya kira penting untuk dimiliki olehnya sebagai seorang pelajar undang-undang.
Semasa bertugas sebagai the First Legal Officer of the then Supreme Court, beliau yang ketika itu menjadi Presiden (atau mungkin Setiausaha) Persatuan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa yang ketika itu masih menumpang kampus di bangunan Maktab Perguruan Islam Petaling Jaya, datang berjumpa saya dan menjemput saya untuk memberi ceramah kepada pelajar Undang-Undang Universiti tersebut dalam suatu program yang diatur khusus oleh Persatuan beliau. Dengan kelulusan yang diberi oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Agung pada masa itu iaitu Encik Hashim Dato' Yusof (kini Dato' Hashim merupakan salah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan), saya memenuhi jemputan tersebut dengan memberi ceramah mengenai Revolusi Bahasa dan Kaedah Mokhdar kepada pelajar-pelajar undang-undang UIA selama hampir tiga jam, dan diberi response yang saya kira amat baik.
Selepas bertugas selama empat bulan di Mahkamah Agung, saya mengambil keputusan meletak jawatan dengan memberi notis 24 jam dan sebulan gaji. (Saya mengambil keputusan memberi notis 24 jam kerana pernah, kira-kira tujuh tahun lalu, setelah memberi notis tiga bulan untuk meletak jawatan bagi memulakan hidup baru sebagai peguam swasta, saya menarik balik keputusan tersebut setelah dipujuk oleh boss saya, yang amat prihatin terhadap saya dan anak-anak dan isteri saya (isteri saya tidak bekerja), takut jika venture baru saya akan gagal. Pembatalan perletakan jawatan tersebut berlaku setelah majlis perpisahan untuk saya dan beberapa orang pegawai lain yang akan berpindah telahpun dirancang, sehingga akhirnya pengerusi majlis terpaksa membuat pengumuman mengeluarkan nama saya daripada salah seorang yang diraikan kerana pembatalan perletakan jawatan saya).
Selepas meletak jawatan, saya terputus hubungan dengan Tan. (Ketika itu teknologi telefon mobil belum berkembang dan hanya mahasiswa yang mempunyai ibu bapa yang benar-benar kaya sahaja yang mampu memiliki handphone. Saya menggunakan telefon ATUR tetapi panggilan menggunakan atau ke ATUR memakan kos yang amat tinggi dan saya sendiri terpaksa menggunakan telefon awam untuk berbual panjang dengan anak-anak dan isteri saya).
Setahun selepas meletak jawatan, saya terbaca berita bergambar di dalam akhbar New Straits Times yang Tan telah dianugerahkan Ijazah Kepujian Kelas Pertama Undang-Undang oleh Universiti Islam Antarabangsa. Dalam gambar yang disiar, tertera gambar Tan bersama dua orang pelajar lain yang menerima anugerah kerana kecemerlangan mereka. (Petikan laporan bergambar berkenaan akan saya cari dan papar di blog http://kelabdarians.blogspot.com/.
2. Di sepanjang 2007, saya bergerak di Johor. Pada bulan April, saya singgah di Sekolah Menengah Sains Kluang. Dengan senang hati, pengetua sekolah tersebut yang, semasa menjadi Penolong Kanan di Sekolah Menengah Sains Muar pada tahun 1996 dahulu, telah menjemput saya menjalankan 'bengkel sehari suntuk bersama Kaedah Mokhdar' di sekolah tersebut, memberi laluan kepada saya untuk memberi ceramah tentang kaedah Mokhdar kepada semua guru dan pelajar di sekolahnya, malah membuat bayaran kepada saya untuk ceramah saya.
Biasanya ceramah di sekolah-sekolah asrama penuh diadakan di luar waktu persekolahan. Namun pengetua berhasrat agar guru-guru juga turut dapat sama mengikuti ceramah saya yang sebenarnya amat berkait rapat dengan P & P (Pengajaran dan Pembelajaran), Pengetua mencadangkan agar ia dijalankan pada waktu persekolahan.
Kaunselor (saya terlupa nama beliau) yang mempengerusikan majlis telah memaklumkan kepada hadirin betapa beliau telah meminta anak beliau, yang belajar di dalam tingkatan dua di sekolah lain, bercuti pada hari itu untuk membolehkan dia hadir mendengar ceramah saya yang pada hematnya amat penting dan amat berfaedah kerana dia sendiri telah mendengar ceramah saya yang diadakan di sekolah tersebut kira-kira empat tahun yang lalu.
Selepas sesi ceramah, Kaunselor menjemput saya ke kantin untuk jamuan. Anak beliau turut menyertai kami. Di dalam perbualan tersebut, Kaunselor menceritakan kepada saya bahawa Nadia, yang menjadi pelajar terbaik SPM Malaysia 2006 (bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran), yang mendapat 17A1 bagi kertas SPMnya, adalah sebenarnya bekas pelajar sekolah tersebut. Nadia juga turut mendengar ceramah yang saya sampaikan kira-kira empat tahun lalu tersebut, malah turut membeli buku tentang kaedah Mokhdar yang saya bawa.
Lebih kurang sebulan selepas sesi ceramah tersebut, Nadia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Sekolah Menengah Sains Kluang dan belajar di sekolah harian yang berdekatan dengan rumah keluarganya kerana dia bercita-cita mahu mengambil sebeberapa banyak subjek di dalam peperiksaan SPMnya nanti.
Daripada perbualan dengan Kaunselor dan sikapnya terhadap saya dan kaedah Mokhdar, saya percaya bahawa sedikit sebanyak, ceramah saya dan kaedah Mokhdar pasti merupakan antara pemangkin yang membantu nadia menjadi pelajar terbaik Malaysia.
Malah semasa membaca laporan akhbar tentang kejayaan Nadia, saya begitu teruja bila membaca kenyataan Nadia yang antara pemangkin kejayaannya ialah pembacaan buku-buku motivasi. Saya teruja kerana pada masa itu saya merasakan yang buku yang akan disebutnya ialah buku 'kaedah Mokhdar', kerana bagi kebanyakan orang, buku-buku tentang kaedah Mokhdar dianggap sebagai buku motivasi, sedangkan bagi saya, ia bukanlah buku motivasi sebaliknya ia adalah sebuah buku yang membentangkan cara yang paling mudah dan berkesan di dalam menangani input-input mathematical yang merupakan antara elemen paling penting di dalam subjek-subjek sains dan matematik.
Bagaimanapun rasa teruja tersebut segera padam bila dia dilaporkan berkata, "antara buku-buku tersebut ialah buku-buku tulisan H.M.Tuah Iskandar". Walaupun H.M.Tuah Iskandar, yang merupakan bekas seorang wartawan, merupakan antara orang yang paling kuat memberi sanjugan kepada saya dan kaedah Mokhdar malah sering menyebut tentang nama saya dan kaedah ini di dalam tulisan-tulisan beliau sama ada di akhbar, majalah atau buku-bukunya, dan kenyataan Nadia tersebut secara remotenya adalah juga memberi kredit kepada kaedah Mokhdar, namun kenyataan tersebut tidaklah cukup untuk saya kemukakan sebagai testimoni keberkesanan kaedah Mokhdar.
Namun perbualan dengan Kaunselor SMS Kluang tersebut menyegarkan kembali ingatan saya kepada perbualan dengan Fatimah bt Hj Abdul Latip, salah seorang pelajar terbaik UPSR Pulau Pinang bagi 2005 (top 35).
Fatimah pernah menghadiri bengkel Kaedah Mokhdar selama seminggu semada di Tahun Empat. Beliau memang cekap dengan kaedah Mokhdar, dan sebelum ini nama dan gambar beliau sering saya siar di dalam risalah-risalah saya bagi menunjukkan betapa kaedah dan bengkel lapan hari ini amat berkesan di dalam melonjakkan kemampuan pelajar, tak kira di tahap mana mereka berada. Sebenarnya bukan Fatimah sahaja yang menjadi pelajar top 35 UPSR Pulau Pinang bagi tahun 2005, tetapi dua orang rakannya sekelasnya turut menjadi antara top 35 tersebut. Sekolah Fatimah juga, Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi, sebuah sekolah luar bandar, telah menghasilkan 25 orang pelajar 5A walaupun yang menduduki UPSR tak sampai pun 50 orang. (Jumlah keseluruhan pelajar sekolah tersebut ialah 464 orang). Saya percaya bahawa, di samping faktor kegigihan guru dan pelajar, faktor cabaran oleh Fatimah dan kaedah Mokhdar juga turut memangkin pencapaian tersebut kerana menurut Fatimah dan bapanya, sejak mengikuti bengkel Mokhdar, kemampuan Fatimah amat terserlah dan dia dan rakan-rakan bersaing sengit sesama mereka. Fatimah juga turut mengajar rakan-rakannya tentang kaedah Mokhdar.
Semasa belajar di Tahun 3, Fatimah telah mengikuti program Bengkel Mokhdar Lapan Hari semasa program itu saya jalankan di kampung saya di mana peserta yang menginap saya tempatkan di rumah arwah Emak dan kelas dijalankan di sekolah agama rakyat. Oleh kerana hubungan saya dengan keluarga Fatimah amat rapat, saling bantu membantu dan mereka pula adalah jiran arwah Emak, saya benarkan Fatimah mengikuti program tersebut secara percuma sahaja. Fatimah adalah pelajar yang pintar dan tekun. Bukan sahaja dia mudah memahami dan mengaplikasikan apa yang diajar, malah dia juga rajin mengajar rakan-rakannya tentang kaedah tersebut. Oleh itu ilmu yang dipraktikkannya selama mengikuti bengkel lapan hari tersebut semakin mantap.
Pada tahun 2005, ketika saya berada di kampung (Lahar Yooi, Tasik Gelugor, Seberang Perai) dan mahu menjalankan program itu sekali lagi di situ (ketika itu saya banyak menghabiskan masa di Perlis bagi membantu mengendalikan program Projek Rintis Perlaksanaan Kaedah Mokhdar di 10 buah sekolah di Perlis). Ibu bapa Fatimah ghairah menceritakan betapa Fatimah sentiasa mendapat perhatian guru-gurunya sejak mencekapi Mokhdar. Malah beberapa orang guru Fatimah menyuarakan hasrat mahu bertemu dengan saya bila mengetahui yang saya adalah orang kampung itu.
Bila saya ke sekolah tersebut, bertemu dengan guru besar menyuarakan tujuan mahu menyewa kemudahan sekolah bagi menjalankan program tersebut (beliau membenarkannya setelah mendapat kebenaran daripada pihak Pejabat Pelajaran Daerah), beberapa orang kakitangan pejabat dan guru sekolah itu begitu teruja melihat kecekapan saya mengingat nombor-nombor kad pengenalan mereka dengan imbasan pandang dalam masa kurang dari 0.3 saat. Mereka semakin teruja bila diberitahu bahawa Fatimah, pelajar Tahun Enam, yang sememangnya amat dikenali kerana kepintarannya, pernah mengikuti program Bengkel Lapan Hari semasa dia di Tahun Tiga dahulu. Mereka memaklumkan kepada saya bahawa Fatimah adalah antara calon pelajar terbaik UPSR sekolah.
Pada hari keputusan UPSR diumumkan, saya sememangnya berada di sekolah itu kerana mengendalikan program "Bengkel Lapan Hari Masa Cuti Melahirkan Genius Sains dan Matematik menerusi Kaedah Mokhdar". Sekolah itu juga mencatatkan keputusan luar biasa pencapaian UPSR, di mana 25 orang pelajar daripada pelajar-pelajar yang mengambil UPSR mendapat keputusan 5A (jumlah yang mengambil UPSR tak sampai pun 60 orang) dan tiga orang pelajar sekolah tersebut, termasuk Fatimah, diisytiharkan sebagai pelajar Top 35 UPSR Pulau Pinang.
Sekolah tersebut juga dikunjungi oleh ramai wartawan, termasuk dari Bernama, The Star, NTV7, the New Straits Times dan lain-lain. Selepas diberitahu yang para wartawan mahu menemuduganya, Haji Latip, ayah Fatimah, bergegas mendapatkan saya meminta saya bercakap bagi pihaknya kepada para wartawan.
"Wartawan nak temuduga bapa Fatimah, dan bukan nak berjumpa dengan saya. Mana boleh saya yang bercakap pula?"
"Apa saya nak jawab?" tanyanya.
"Jawablah apa sahaja yang nak dijawab, bukan soalan yang susah pun.
Oleh kerana jumlah hadirin yang memenuhi dewan tempat di mana diadakan sidang khas bagi mengumumkan keputusan pencapaian pelajar-pelajar sekolah itu adalah terlalu ramai, saya tidak dapat menghampiri sesi temuramah para wartawan dengan Fatimah. Bagaimanapun sebaik sesi temu ramah itu selesai, Fatimah segera mendapatkan saya.
"Cek dah bahag (beritahu) semuanya kepada wartawan. Cek bagi tau depa yang cek dapat keputusan cemerlang ini kerana antaranya, cek praktik kaedah Mokhdar," Fatimah ghairah memberitahu saya.
"Depa tak tanya kaedah Mokhdar 'tu kaedah apa?" saya bertanya.
"Memang depa tanya. Cek jawab, sapa sahaja yang guna kaedah Mokhdar akan mudah belajar matematik, matematik tambahan, biologi, fizik, kimia dan sebagainya."
"Hang tak pernah belajag pun matematik tambahan, biologi, fizik dan kimia, yang hang pi sebut macam tu buat apa?" kata saya.
Malam itu saya tak sabar menunggu siaran berita NTV7. Temuduga dengan Fatimah tersiar, namun tidak ada satu pun bunyi 'kaedah Mokhdar' tersiar.
Besoknya saya beli semua akhbar. Hampir semua akhbar menyiar berita kejayaan Fatimah, tetapi siaran yang paling menyerlah ialah siaran dalam akhbar muka depan The Star. Gambar Fatimah tersiar di muka depan. Di dalamnya tersiar lagi gambar lain yang lebih hebat, iaitu gambar Fatimah sedang mengunjukkan keputusannya kepada Haji Latip. Rupa-rupanya selepas sesi di sekolah, para wartawan meminta Haji Latip dan Fatimah ke sawah lalu merakam lakonan Fatimah mengunjukkan slip keputusan kepada Haji Latip di tengah sawah!
Saya membaca berulang kali laporan tersebut, takut kalau-kalau kenyataan Fatimah mengenai penggunaan kaedah Mokhdar olehnya terlepas pandang oleh saya, namun nyata bahawa kenyataan itu tidak tersiar sama sekali. Yang tersiar ialah, kononnya, antara pemangkin kejayaan Fatimah ialah janji oleh bapanya, seorang pengikut setia PAS, sentiasa berserban dan hampir setiap hari berada di surau untuk berjemaah Maghrib, Isya dan Subuh, bahawa, jika Fatimah berjaya cemerlang, Fatimah akan dibawa olehnya ke Genting Highland (sebuah bandar peranginan dan pusat perjudian terkemuka) dan tinggal di sana selama dua hari.
Daripada perbualan saya dengan Haji Latip, dialog tersebut tidak pernah pun diucap olehnya.
Perbualan dengan kaunselor Sekolah Menengah Sains Kluang itu menimbulkan rasa syak, bahawa buku yang disebut oleh Nadia dulu mungkin buku kaedah Mokhdar, buku yang turut dibelinya semasa ceramah saya di sekolah tersebut dulu, namun oleh kerana Dr.Tuah Iskandar adalah bekas seorang wartawan, dan kebanyakan buku-buku beliau diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf, syarikat yang aktif menerbitkan pelbagai akhbar dan majalah dan sering juga memuatkan tulisan wartawan-wartawan dari akhbar lain, maka bila nama buku beliau disebut, mudah sahaja ia ditulis dan dilepaskan untuk siaran.
Sedangkan bila disebut buku 'kaedah Mokhdar', ia mudah sahaja diabaikan sama ada oleh pemberita atau oleh editornya walaupun kaedah Mokhdar sebenarnya bukan sebuah buku motivasi seperti buku-buku lain yang berlambak di pasaran, yang para penulisnya terdiri daripada tokoh-tokoh tersohor, termasuk Dato' Dr.Fadhilah Kamsah, hinggalah kepada penulis-penulis yang tidak bernama. Kaedah Mokhdar adalah suatu kaedah yang amat terbukti kerana sebaik sahaja ia mulai digunakan, penggunanya akan terus merasai perubahan yang luar biasa berhubung dengan kecekapan di dalam menguruskan input-input mathematical, atau mungkin lebih mudah disebut sebagai input-input matematik dan sains.
3. Sazali, pelajar terbaik SPM Malaysia bagi 2007, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Kedah, adalah anak kepada guru-guru Sekolah Menengah Dato' Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas. Ceramah kaedah Mokhdar untuk kedua-dua sesi pagi dan petang di telah diadakan di sekolah tersebut pada bulan September 2005, dan ramai daripada guru-guru dan pelajar sekolah tersebut yang membeli buku-buku dan bahan-bahan mengenai kaedah Mokhdar yang dijual selepas ceramah tersebut, malah ramai pula yang menghantar anak-anak mereka mengikuti Bengkel Lapan Masa Cuti Melahirkan Genius Sains dan Matematik yang diadakan pada awal cuti sekolah iaitu pada awal November 2005 di Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi dan kemudiannya pada pertengahan cuti Disember 2005 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irsyad, Pokok Sena. Mungkin saya hanya cuma mampu syok sendiri dengan fakta ini kerana tidak ada sesiapa pun, baik Sazali mahupun kedua ibu bapanya, yang menyebut apa-apa tentang kaedah Mokhdar semasa interbiu dengan mereka tersiar di media massa.
(Pada tahun 2004, saya juga hanya mampu syok sendiri bila seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang, diisytihar sebagai calon UPSR terbaik Malaysia bagi tahun 2004 kerana pada bulan Mach tahun tersebut, Bengkel Intensif Lapan Hari Melahirkan Genius Sains dan Matematik masa cuti telah diadakan di Felda Sungai Koyan dan telah disertai oleh ramai anak peneroka tanah rancangan tersebut. Tidak ada apa-apa pernyataan yang tersiar di TV dan akhbar atau majalah berhubung dengan penggunaan kaedah Mokhdar oleh pelajar berkenaan.
Pada 2006, calon terbaik SPM Malaysia sebenarnya jatuh kepada Fatimah bt Mokhtar, seorang pelajar Maahad Muhammadi (Perempuan) di Kota Bharu, yang mendapat A1 bagi kesemua 18 kertas yang diambilnya, manakala Nadia (calon bekas pelajar SMS Kluang yang saya sebut di atas), hanya mendapat tempat kedua. Saya juga hanya mampu syok sendiri bagi kes Fatimah kerana beliau adalah salah seorang daripada pelajar yang menginap di asrama dan pada awal tahun, asrama Maahad Muhammadi (Perempuan) telah menganjurkan program ceramah Kaedah Mokhdar oleh saya dan dihadiri oleh kesemua penghuni asrama sekolah tersebut yang berjumlah hampir 700 orang kesemuanya.
Malah kedatangan saya ke sekolah tersebut telah dihantar sendiri oleh EXCO Pelajaran Kelantan iaitu Y.B.Nik Amar bin Abdullah, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah tersebut. Beliau menawarkan untuk menghantar saya kerana takut jika saya sesat jalan selepas saya bersama beliau mengunjungi seorang lagi saudara beliau yang telah koma selama lebih daripada dua tahun kerana dilanggar kereta, setelah saya dan Haji Latip (bapa Fatimah yang datang bersama saya dari Seberang Perai) menziarah beliau di rumahnya. Arwah bapa Nik Amar sebenarnya berasal dari Seberang Perai dan mempunyai pertalian keluarga dengan arwah datuk saya dan juga datuk Haji Latip iaitu bapa Fatimah.
Sunday, March 23, 2008
Pengalaman berurusan dengan Kementerian Pelajaran
Sejak melihat keberkesanan kaedah Mokhdar di dalam meningkatkan kemampuan minda setiap orang di dalam menyimpan, mengakses dan mengurus input atau maklumat di dalam minda, saya tak sabar mahu melihat ia dilaksanakan di sekolah-sekolah khususnya sekolah-sekolah kebangsaan kerana ia pasti akan memartabatkan sekolah-sekolah ini sebagai sekolah yang menghasilkan pencapaian terbaik pelajar di dalam peperiksaan-peperiksaan yang dijalankan. Semangat saya semakin membara kerana setiap kali memberi ceramah dan membuat demonstrasi kepada guru-guru, pelajar dan ibu bapa, mereka memberi sambutan yang amat memberangsangkan kepada ceramah saya. Sambutan ini terpancar jelas daripada sekian banyak reaksi dan petanda yang ditunjuk oleh mereka, antaranya, terus terpaku mendengar ucapan saya walaupun ada kalanya ceramah mengambil masa lebih daripada empat jam, tepukan bergemuruh yang diberi setiap kali mereka memahami hujah saya kenapa perkataan Melayu perlu jadi makin pendek dan bukan makin panjang dan kenapa kepentingan bahasa Inggeris tidak boleh diketepikan sama sekali, ucapan-ucapan para mc yang memberitahu hadirin bahawa mereka tidak pernah mendengar ceramah tentang matematik dan sains yang diberi sambutan sehebat sambutan yang diberi kepada ceramah saya, suasana pelajar, ibu bapa dan guru-guru yang berebut-rebut mahu mendapatkan tandatangan saya, ucapan semangat yang diberi kepada saya supaya meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara dan bersabar menghadai kerenah yang mahu memperlekehkan segala usaha saya, dan sebagainya lagi. Sokongan yang paling jelas yang menyebabkan saya mampu terus bertahan sehingga ke hari ini ialah jualan buku-buku mengenai kaedah Mokhdar yang amat laris yang memampukan saya menyelesaikan bil-bil hotel dan perjalanan, membayar gaji pekerja, membayar hutang-hutang lama dan baru dan seterusnya menyara anak isteri saya tanpa perlu meminta daripada sesiapa, malah tanpa perlu meminjam dari sesiapa untuk tujuan itu.
"Mokhtar harus bersedia mengharung dugaan. Jika idea ini ditemui oleh orang yang mempunyai kedudukan atau kuasa, sudah pastilah mereka akan melaksanakannya sepantas kilat supaya kedudukan dan kuasa mereka dapat diperkukuhkan lagi," demikian ucapan yang sering dibisikkan ke telinga saya.
"Most of our intellectuals are trapped inside their own intellectual minds," kata Prof.Madya Zahib bin Hj Deraman, pensyarah di Fakulti Ukur UTM, semasa memberi ucapan sebagai penasihat Kelab De Fikir, Universiti Teknologi Malaysia, dalam seminar bertajuk 'Mengasah Minda Matematika menerusi Kaedah Mokhdar' di Dewan Tengku Iskandar, kampus UTM Skudai, pada tahun 1994. Majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Naib Chanselor dari awal hingga akhir adalah anjuran bersama Kelab De Fikir dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Malaysia.
"Dulu saya pernah bertanya, kenapa Allah Subhanawataala tak lahirkan saya di zaman Tuanku Abdul Rahman atau Dato' Onn Jaafar, kerana jika saya lahir pada zaman mereka, pasti nama saya akan tercatat dalam sejarah sebagai tukang yang menolong mereka membawa bag James Bond mereka. Rupa-rupanya Allah Maha Kaya, Dia lahirkan saya untuk dipertemukan dengan Mokhtar Hj Mansor. Mokhtar Hj Mansor tidak membawa bag james bond di dalam melaksanakan perjuangannya, sebab tuan puan tengok sendirilah, dia 'ni memang amat simple orangnya, tak nampak pun tokoh seorang bekas majistret. Dia bawa buku di dalam melaksanakan perjuangannya, buku yang mengandungi idea-idea yang saya tahu amat hebat dan mampu mengubah bangsa. Nanti lepas ceramah 'ni, saya akan tolong Mokhtar jual buku-buku tulisan beliau, tuan puan tolong ambil gambar. Nama saya nanti, InsyaAllah, akan tercatat sebagai salah seorang yang membantu perjuangan Mokhtar Hj Mansor untuk bangsa dan negaranya - satu nama besar yang pengorbanan dan kesungguhannya tidak akan tuan puan tidak akan temui lagi di kalangan mana-mana penduduk Malaysia di zaman ini, yang sanggup mengenepikan segala kedudukan dan keselesaan hidup atas nama perjuangan untuk bangsa kita. Saya amat berbangga walaupun nama saya hanya tercatat sebagai orang yang membantu menjual buku-buku yang mengandungi idea-idea besarnya," kata Professor Madya yang sama ketika, tanpa dirancang sebelumnya, dijemput oleh Pengerusi untuk memberi ucapan mendahului ucapan saya dalam majlis untuk pegawai dan kakitangan FELDA di Segamat, Johor, dua hari selepas berlangsungnya seminar anjuran Kelab De Fikir di Universiti Teknologi Malaysia. Beliau sanggup memandu bersama anak-anaknya dari Johor Bharu ke Segamat untuk memberi sokongan kepada saya dengan turut hadir di dalam majlis yang dianjurkan oleh pihak FELDA tersebut.
"Demi kemajuan bangsa kita, saya berikrar yang kami akan pastikan yang kaedah ini akan diperkenalkan di sekolah-sekolah," kata Encik Khairuddin, Ketua Unit Matematik, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, selepas selesai majlis pembentangan kaedah Mokhdar di Pusat tersebut di Kompleks PPK Jalan Duta, juga pada tahun 1994. Malah mereka mencadangkan kepada saya supaya mulai menulis buku yang dapat digunakan untuk tujuan itu, sehingga saya naik 'perasan' dan memberitahu ahli-ahli keluarga saya yang tak lama lagi saya akan dibayar tak kurang daripada dua juta ringgit bagi hasil jualan buku-buku saya yang akan digunakan sebagai buku rujukan di sekolah-sekolah. Saya tak sabar mahu menenangkan hati Emak yang masih terkilan dan kesal dengan tindakan saya meletak jawatan pada penghujung tahun 1993.
"Idea Mokhtar dan kaedah Mokhdar ini mesti diketahui oleh rakyat negara kita terutamanya orang Melayu. Saya minta Mokhtar datang untuk sekurang-kurangnya lima belas kali lagi dan terangkan dengan sejelas-jelasnya tentang kaedah Mokhdar ini," kata Pengarah Radio kepada saya sebaik selesai memberi temu ramah radio mengenai kaedah Mokhdar bersama dengan Mariamah Tijo pada tahun 1994. Beliau turun ke konti khas untuk bertemu saya yang menurutnya membawa idea yang amat segar dan tidak diketahui masyarakat tetapi amat meyakinkan. "Saya pun tak terfikirkan selama ini, rupa-rupanya perkataan kita yang panjang menyebabkan pemikiran kita lambat dan seterusnya melambatkan pergerakan dan tindakan kita," kata beliau. Atas kehendak beliau, selama beberapa bulan selepas itu, setiap hari Selasa, dari jam empat hingga lima petang, suara saya pasti ke udara berbicara tentang kaedah Mokhdar. Hakikat sebenarnya ialah, saya sebenarnya berbicara tentang kepanjangan perkataan di dalam bahasa Melayu dan kaedah Mokhdar saya tonjolkan untuk menjadi sebagai antara bukti kebenaran penemuan dan pemikiran saya. Kecekapan Nur Idzham yang ketika itu belum pun berusia lima tahun menjawab dengan lancar setiap darab sifar hingga darab 19 kemudiannya menarik perhatian Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia yang kemudiannya menganjurkan seminar untuk saya yang liputannya diberi begitu meluas oleh semua media elektronik dan media cetak pada keesokan harinya, dengan sorotan selama beberapa hari selepas itu di akhbar dan majalah.
Di atas sekian banyak sokongan yang telah diberi dan penghargaan yang ditunjukkan kepada saya, pendirian saya semakin diperkukuhkan bahawa segala hasil penemuan dan kaedah yang saya bina bukanlah dengan tujuan untuk dikomersialkan, tetapi untuk diperjuangkan sehingga ia memberi manafaat kepada keseluruhan bangsa Melayu untuk membantu melonjakkan pencapaian mereka. Bagi saya, semakin ramai yang dapat memanfaatkan kaedah Mokhdar, semakin cepatlah ia diterima dan walaupun pihak birokrasi akan mengambil masa yang amat lama untuk menerimanya, namun rakyat menggunakannya. Generasi yang menerima kaedah Mokhdar dan mempraktikkan kaedah Mokhdar pada suatu hari nanti akan mengambil alih tampuk pemerintahan dan kepimpinan negara dan pada masa itu kaedah ini dan segala hasil penemuan dan pemikiran saya pasti akan diberi tempat di dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara tanpa perlu lagi melalui perjuangan yang amat perit yang telah saya lalui sejak sebelum meletak jawatan hinggalah ke hari ini.
Namun saya tidaklah menyangka ia akan mengambil masa begitu lama, sehinggakan, sehingga kini ia masih lagi tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya. Saya tidak menyangka yang ia akan mengambil masa yang begitu lama kerana segala bukti yang saya bentang adalah terpampang di hadapan mata, sama ada bukti-bukti imperial ataupun bukti-bukti daripada sekian banyak eksperimen-eksperimen yang dijalankan. (Kini, pada setiap minggu, saya mendengar pengakuan daripada sekurang-kurangnya seorang individu yang membuat pengakuan bahawa jika tidak kerana menggunakan kaedah Mokhdar atau terdedah kepada penggunaan kaedah Mokhdar, mereka, anak, murid atau orang yang mereka kenal tidak akan mencapai kedudukan sebagaimana yang mereka nikmati sekarang).
Dengan begitu ramainya individu yang membuat demikian, saya sendiri semakin hairan kenapa kaedah ini tidak dilaksanakan di sekolah, terutamanya di dalam kesungguhan dan keghairahan Y.B.Menteri Pelajaran sekarang iatu Dato' Seri Hishamuddin Hussein Onn berusaha pada tahap maksimum mahu memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan.
Kini, setelah melalui pengalaman berurusan dengan pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya di Pusat Perkembangan Kurikulum, baru saya dapat melihat dengan jelas kenapa kaedah tersebut tidak dilaksanakan di sekolah.
"Kaedah Mokhdar tidak bagus'kah?" tanya saya kepada seorang pegawai mereka yang membawa berita kononnya penerimaan kaedah Mokhdar untuk dijadikan projek rintis di 10 buah sekolah di Perlis adalah fifty-fifty.
"Bukan kaedah you tidak bagus. Masalah you ialah, you tidak ada orang dalam yang boleh menolong you."
"Bukankah projek rintis ini bermula daripada arahan Menteri Pelajaran sendiri?" saya meragui kata-katanya.
"Yang benar-benar berkuasa membuat keputusan dalam kes kaedah you 'ni bukannya menteri, tetapi kami."
"Habis apa yang dapat saya lakukan? Saya rasa arahan menteri sudah mencukupi untuk mempastikan segalanya berjalan lancar?"
"Beginilah. Kami boleh jadi orang dalam you untuk mempastikan segalanya berjalan lancar," kata beliau.
Kata-kata beliau membuat saya tersentak, tetapi saya menyembunyikan gelodak perasaan saya. Saya adalah seorang bekas Majistret Kanan, bekas Peguam Kanan Persekutuan merangkap Timbalan Pendakwa Raya Malaysia bagi negeri Kedah. Saya biasa menjadi sumber rujukan nasihat atau pandangan oleh BPR baik semasa menjadi Majistret Kanan apa lagi semasa menjadi Timbalan Pendakwa Raya, walaupun mereka mempunyai penasihat undang-undang mereka sendiri iaitu Peguam Kanan Persekutuan merangkap Timbalan Pendakwa Raya Malaysia untuk BPR. Walaupun dalam sejarah lebih daripada sepuluh tahun mengembara dari satu daerah ke satu daerah membuat pendedahan tentang kaedah Mokhdar, saya pernah menghadapi dua perbuatan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan wang dari saya, di dua buah tempat (yang lain daripada di atas jalan raya), kali ini situasi yang saya hadapi melibatkan seorang pegawai yang percaya mempunyai kelulusan agak tinggi dan mendapat kepercayaan penuh Kementerian Pelajaran kerana jika tidak, pasti dia tidak akan ditempatkan bahagian yang amat sensitif itu.
Saya cuba juga berbaik sangka dengan mengandaikan bahawa dia sebenarnya menawarkan diri untuk menjadi orang dalam tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan lain selain daripada kepuasan hati kerana dapat membantu mengetengahkan sesuatu yang akan menghasilkan perubahan besar terhadap kemajuan pelajaran anak bangsa. Namun, setelah beberapa ketika berlalu, dia tampak seperti tidak menyenangi saya walaupun di hadapan rakan-rakannya yang kuat menyokong perlaksanaan kaedah Mokhdar, dia berpura-pura memberi sokongan kepada saya.
"Kita mesti jemput Encik Mokhtar 'ni beri taklimat kepada pegawai-pegawai di tempat kita, biar minda pegawai kita terbuka untuk melihat idea-idea seperti ini," demikian antara dialog beliau dengan pegawai atasan beliau, di hadapan saya, pada suatu hari ketika saya mengunjungi PPK.
"Bukankah 'dah dibuat sebelum permulaan projek rintis tahun lalu?" saya tanya.
"Yang itu jemputan umum. Yang ini kita buat khusus untuk pegawai kita," kata beliau lagi. Itulah antara perlakuan beliau yang saya sendiri rasakan sebagai lakonan semata-mata kerana sejak program Mokhdar kedua bersama Kementerian Pelajaran di Langkawi, saya mulai dapat merasakan yang dia tidak menyenangi saya. Ia pastinya berkait rapat dengan kegagalan saya bertindak sebaik yang diharapkannya berhubung dengan tawaran 'kami' untuk menjadi orang dalam.
Pada bulan Jun 2007, saya menerima khabar kurang menyenangkan. Khabar itu ialah,Encik Wahab, ketua Unit Matematik yang pada mulanya menyanggah keberkesanan kaedah Mokhdar tetapi berubah 90 darjah selepas melihat sambutan pelajar dan guru-guru yang begitu meriah terhadap kaedah ini dalam ceramah di Sekolah Kebangsaan Abi, Perlis, yang turut dihadiri oleh pensyarah dan peserta kursus penggunaan sempoa (perlaksanaan projek rintis kaedah Mokhdar di sepuluh buah sekolah di Perlis adalah dengan menumpang budget sempoa) - malah Wahab kemudiannya menjadi pakar pengguna kaedah Mokhdar - telah dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Bahagian Kesihatan. Tak lama selepas itu saya menerima khabar yang lebih buruk - bahawa kursus yang telah dirangka oleh Unit Matematik oleh Encik Wahab untuk semua guru-guru matematik di seluruh negara telah dicantas oleh Ketua Bahagian Matematik dan Sains, Mr.Chia, dengan sokongan pegawai-pegawai yang mengambil alih tempat Encik Wahab.
Pada bulan lapan, seorang pegawai saya, Raja Faizal, tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu, menghantar e-mail kepada PPK, bertanya kepada kaedah Mokhdar tidak dilaksanakan di sekolah-sekolah sedangkan sekian ramai ibu bapa telah melihat betapa kaedah ini telah mengubah prestasi anak-anak mereka ke tahap yang mereka sendiri tidak mimpikan.
Dua bulan selepas menerima e-mail tersebut, pegawai yang telah menawarkan 'kami' untuk menjadi 'orang dalam' untuk mempastikan kelancaran perlaksanaan kaedah Mokhdar menerusi PPK, membalas e-mail Raja Faizal menggunakan sms, memberitahu beliau bahawa projek rintis tersebut telah dilaksanakan di Perlis. "Sila sampaikan kepada Encik Mokhtar bahawa guru-guru yang terlibat dalam perlaksanaan kaedah tersebut di sepuluh buah sekolah yang terlibat memberi penilaian yang amat buruk terhadap kaedah Mokhdar".
"Engkau balaslah balik, kalau ada orang dalam, pastilah kaedah ini diberi penilaian yang amat baik oleh guru-guru itu," kata saya kepada Raja Faizal, merujuk kepada kisah yang pernah saya ceritakan kepada beliau tentang tawaran 'kami' tersebut.
Ikuti pengalaman saya berurusan dengan pegawai-pegawai di Kementerian Pelajaran Malaysia sejak kaedah ini mulai saya perkenalkan sejak 1989. Catatan yang agak terperinci mengenai pengalaman tersebut telah saya siapkan, dan ia akan diterbitkan sebagai sebuah buku dengan harapan hasil jualannya akan dapat menampung kos perjuangan menyebarkan kaedah ini yang semakin hari semakin meningkat.
Walaupun akhirnya projek rintis kaedah Mokhdar - yang menumpang budget sempoa - yang dijalan di 10 buah sekolah di Perlis dikatakan diberi penilaian yang buruk oleh guru-guru yang terlibat (yang bertentangan dengan maklumat langsung yang saya terima daripada lapan daripada 10 guru-guru yang terlibat), namun tindakan Pusat Perkembangan Kurikulum, pihak yang melaksanakan program tersebut, mencetak 120000 naskah buku "Modul Kemahiran Asas Mengira" dan mengedarnya ke hampir semua sekolah kebangsaan di Malaysia yang sebahagian yang signifikan di dalam buku tersebut mengandungi kaedah Mokhdar [(lihat gambar-gambar di atas : (1) Kulit buku terbitan PPK yang sebahagian besar dan signifikannya mengandungi kaedah Mokhdar, dan (2) Antara kandungan buku tersebut yang jelas mencabul hakcipta kaedah Mokhdar kerana diterbitkan tanpa kebenaran pemilik hakcipta)] , bukan sahaja contradicting mesej dalam sms terakhir yang dihantar kepada pegawai saya oleh pegawai di Unit Matematik PPK berkenaan, tetapi juga mengundang implikasi perundangan yang amat besar terutama dari segi pencabulan hakcipta saya sebagai pelopor dan penulis buku-buku mengenai kaedah Mokhdar yang kandungannya dicetak tanpa izin saya oleh pihak PPK.
Walaupun telah berbincang dengan firma peguam yang specialised di dalam undang-undang hakcipta, saya masih menunggu dan melihat tindakan lanjut daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sementara tempoh statutory limitation period masih memberi saya ruang untuk mengambil tindakan.
*************
Setelah menemui suatu fakta pada tahun 1986, bahawa sebutan nombor dan perkataan di dalam bahasa Melayu adalah panjang dan ini menghasilkan kelambatan penggunaan bahasa Melayu sebagai software minda dan juga kelambatan di dalam komunikasi yang seterusnya menghasilkan kos yang lebih tinggi bagi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengurusan dan bahasa komunikasi, saya menulis surat kepada YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Dr.Mahathir, meminta supaya sesuatu dilakukan bagi mereformasikan bahasa Melayu untuk tujuan reformasi bangsa. (baca catatan-catatan saya di dalam blog ini dan blog-blog berkaitan).
Ketika Penasihat Khas Kementerian Pelajaran Malaysia, Tan Sri Awang Had Salleh hadir ke Teluk Intan dan menjadi Pemikir Tamu di dalam majlis Viva Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi tulisan saya, anjuran Persatuan Karyawan Perak yang saya menjadi Ketua Satunya ketika itu, diadakan di Teluk Intan pada tahun 1990, beliau memberitahu saya yang Dato' Aishah, Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu telah menyatakan hasrat kepadanya mahu bertemu saya.
Saya cuba menghubungi beliau menerusi telefon, namun dalam percubaan ketiga saya, beliau masih tidak dapat dihubungi di pejabatnya. Operator di Kementerian Pelajaran menghalakan panggilan saya kepada Dr.Munirah, kalau tak silap, pegawai khas beliau pada masa itu. Apabila saya memperkenalkan diri, tiba-tiba beliau berkata, "Hold on, Encik Mokhtar. It seems that you are doing so much of educationists job, do you have time to do your own?"
Saya yang memahami sindiran beliau, terus berkata, "Can I get your clearer meaning?"
"Ialah, nampaknya you melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dibuat oleh educationists. Macam mana dengan kerja you, 'dah siapkah written judgements you atau banyak yang tertangguh? I heard that there are so many written judgments not yet written."
Jelas bahawa nada suaranya amat tidak menyenangi saya, atau mungkin beliau cuba berseloroh. Bagaimanapun saya amat tidak menyenangi dialognya.
"With greatest respect to you, Dr.Munirah, I am not doing your job at all. I am just doing my job as a parent to my children, and all the way long, I've found somethings that I feel I must share them with you for the benefit of all our children, so, would you take this as stepping into your shoes?" saya bertanya separuh membentak.
"Yeah, you may be right," kata beliau.
"And for your information, I am doing my job just fine. I am using my laptop on my bench, the litigants can straight away get my type-written notes of evidence, a complete one, and they even get my written judgments less than half an hour after the making of my decisions. You may come and visit my court."
Beliau lalu menetapkan waktu untuk pertemuan dan perbincangan kami, namun dengan nada suaranya yang kedengaran seperti tidak begitu menghargai pertemuan itu, saya membatalkan hasrat untuk bertemu dan berbincang dengannya.
(BERSAMBUNG)
Friday, January 25, 2008
laman berkaitan
TEMPAT : SEREMBAN
"Hari ini hari bertuah bagi saya kerana dapat jumpa Encik Mokhtar. Saya ‘dah guna kaedah ini untuk mengajar pelajar-pelajar saya semasa mengajar di SK Taman Tun Dr.Ismail Jaya di Shah Alam," demikian kata Cikgu Anita Zaila binti Abdul Latiff kepada saya, sebaik tamat sesi ceramah dan demonstrasi kepada guru dan pelajar mengenai kaedah Mokhdar di SK Seri Ampangan, Seremban, pada awal pagi Khamis 29hb Sept 2006.
"Pelajar sekolah ini?"
"Tidak. Dulu saya mengajar di SK Taman Tun Dr. Ismail. Saya mengajar subjek matematik untuk Tahun Satu dan Tahun Dua."
"Jadi cikgu memang cekap dengan kaedah ini?"
"Sebenarnya saya tak cekap, tetapi saya gunakan kaedah ini dalam kelas dengan bantuan murid yang telah ikuti bengkel intensif yang Encik Mokhtar jalankan."
"Macam mana dengan kesan terhadap pelajar-pelajar cikgu?"
"Hebat. Budak-budak ‘tu juga, budak yang ikuti bengkel intensif Encik Mokhtar ‘tu, anak orang besar syarikat Proton .. er .. kalau tak Proton, EON. Yang nama Razak .. "
"Kalau tak silap saya, Razak ‘tu anak jiran saya sekarang ‘ni, rumah kami sekarang bersebelahan di Country Homes, Rawang. Masa dia ikuti program ini, dia pelajar Tahun 4. Dia memang CEO, kalau tak Perodua, Proton Edar."
"Adiknya nama Amirul?"
"Kalau tak silap, adiknya Amirul ‘tu saya bawa ke MHI TV3 dua atau tiga tahun lepas untuk pamirkan kemahirannya ... usianya tujuh ketika itu ..."
"Memang budak-budak ‘tu teramat pintar, sekarang pun saya dengar mereka jadi pelajar top."
"Beginilah cikgu, boleh tak jika cikgu tolong tulis tentang apa yang cikgu beritahu saya ‘ni, saya nak masukkan maklumat cikgu ‘ni ke dalam laman web saya," kata saya sambil menyerahkan sehelai kertas berukuran A4 kepadanya yang kebetulan berada di dalam tangan saya.
"Tentu sahaja boleh."
Beliau yang sarat mengandung meminta diri buat seketika. Tak lama kemudian beliau menyerahkan kepada saya kertas A4 tersebut. Inilah yang beliau catatkan:
"Nama: Anita Zaila bt Abdul Latif. Guna kaedah: 1998 - 2001 di SK Taman Tun Dr.Ismail Jaya, Shah Alam. Mengajar Tahun 1 dan 2 Subjek Matematik. Gunakan kaedah ini di dalam kelas dengan bantuan anak muria yang mengikuti bengkel. 50% murid dalam kelas mengetahui kaedah itu. Keputusan exam - sangat cemerlang. Antara murid yang cemerlang: 1. Nurul Ellmy bt Abd Razak, 5A (UPSR). TKC (Tengku Kurshiah College) sekarang. 2. Nur Atikah bt Mokhtar. 5A UPSR - MRSM. 3. Nadia bt .... 5A (UPSR) - MRSM.

Setelah menyerahkan catatan di dalam kertas A4 tersebut, beliau menyerahkan sehelai lagi kertas berukuran A4, iaitu borang bagi mendaftarkan dua orang anaknya untuk mengikuti program bengkel intensif yang saya jadualkan akan di adakan di Seremban dari 26hb Nov hingga 3hb Disember 2006 di Seremban.
Catatan: Didapati kemudiannya bahawa pelajar-pelajar yang dimaksudkan oleh Cikgu bukanlah anak-anak jiran saya yang juga merupakan CEO sebuah syarikat yang berkaitan dengan pembuatan dan pengedaran motokar kerana anak-anak jiran saya mengikuti program yang diadakan di Country Homes, Rawang, pada 2003 manakala berdasarkan catatan Cikgu Anita, dipercayai bahawa pelajar-pelajar dimaksudkan telah menjalani bengkel masa cuti yang diadakan di SK Taman Tun Dr.Ismail Jaya pada tahun 2000 iaitu tiga tahun sebelumnya. Pengesahan mengenai perkara ini akan dibuat kemudian.
Friday, January 18, 2008
Blog / laman berkaitan

Publisiti mengenai kaedah Mokhdar memang cukup luas. Setiap tahun berita, rencana, temu ramah atau mengenainya pasti keluar di akhbar, radio, TV, majalah dsb. Malah pengakuan beberapa orang pelajar cemerlang yang resepi kejayaan mereka turut dipangkin oleh penggunaan kaedah Mokhdar juga telah dilaporkan menerusi akhbar. Namun sehingga kini buku-buku mengenai kaedah Mokhdar amat sukar diperoleh di pasaran. Namun begitu sudah ratusan ribu daripada rakyat Malaysia yang memiliki buku-buku mengenai kaedah Mokhdar sejak dari ia mula diperkenalkan di TV pada tahun 1990 hinggalah kini. Kenapa jadi begini? Anda akan temui jawapannya di dalam kisah-kisah suka duka perjuangan Mokhtar Hj Mansor menyebarkan keyakinannya di dalam blog ini.
Wednesday, January 16, 2008
MANGSA BIROKRASI
Tarikh Peristiwa : 26hb Januari 2006
Tempat : Sekolah Menengah Bistari Jais, Subang Jaya
Tarikh 26hb Jan 2006 merupakan tarikh yang amat bermakna bagi seorang ‘guru’ sepertiku. Jika di sebelah paginya semangat perjuanganku melonjak kembali selepas mendengar pengakuan Pengetua Sekolah Menengah Sains Selangor, Encik Dani, yang seronok menceritakan kepada Ketua Panitia Sains dan Matematik sekolahnya tentang kemahiran anaknya menguruskan fakta-fakta numerical dan mathematical, malamnya, tanpa kuduga, aku bertemu pula dengan tiga orang pelajar yang pernah mengikuti program Bengkel Intensif Kaedah Mokhdar selama lapan ke dua puluh hari.
Pada kira-kira jam 3.00 petang hari itu, aku singgah di Sekolah Menengah Bistari JAIS di Seksyen 5 di Subang Jaya. Selepas berjumpa Pengetua, beliau meminta aku berbincang dengan Penolong Kanan yang juga merupakan seorang guru Kimia. Mungkin demonstrasi yang kubuat dengan menulis sekian banyak fakta kimia di samping fakta biologi, fizik, matematik dan matematik tambahan yang ada di dalam memoriku, di samping keupayaan mengingat nombor kad pengenalan yang ditulis oleh beliau dengan imbasan pandang tak lebih daripada 0.25 saat, membuatkan beliau bersetuju mengaturkan program ceramah pada malam itu juga, kerana sekiranya dijemput kemudian, pihak sekolah dikenakan bayaran seperti yang biasa dikenakan oleh konsultan-konsultan lain.
Di dalam ceramah selama hampir dua jam kepada hampir seribu orang pelajar yang memenuhi dewan yang serba canggih dengan sistem accoustic yang amat sempurna itu, bila kutanya siapa yang pernah mempelajari kaedah Mokhdar atau pernah mengikuti ceramah atau bengkel mengenainya, hampir daripada separuh pelajar-pelajar tersebut mengangkat tangan. Bila kutanya tentang siapa pula yang mengamalkannya, lebih daripada separuh daripada yang mengangkat tangan tadi terus mengangkat tangan. Bila kutanya pula tentang siapa yang paling cekap di antara mereka, secara serentak hampir semua pelajar menyebut nama Aleeya.
Aleeya kusuruh bangun. Seelok terpandang wajahnya yang mengambil kedudukan di bahagian paling hadapan dewan, wajah tujuh orang anak-anak seorang tokoh korporat yang terkenal yang telah mengikuti program bengkel lapan hari masa cuti yang kujalankan di Subang Jaya bersama dengan anak isteriku pada tahun 2002 dulu, dengan yang paling kecil berusia lima tahun dan yang paling besar ketika itu belajar di dalam tingkatan dua.
Berdasarkan kepada cadangan yang kami beri, biasanya setiap peserta hanya dibelikan seorang satu set modul program oleh ibu bapa mereka, manakala buku “Kaedah Mokhdar – Falsafah dan Latihan Asas”, yang kami anggap sebagai buku rujukan utama Kaedah Mokhdar, dan tiga carta asas mengenai kaedah Mokhdar tidak perlu diberi kepada setiap orang kerana setiap keluarga hanya memerlukan satu naskah buku dan carta-carta tersebut yang boleh dikongsi bersama. Bagaimanapun dalam kes keluarga Aleeya, bapanya membeli lapan set lengkap buku dan bahan mengenai kaedah Mokhdar untuk diagihkan kepada setiap orang daripada anak-anaknya, manakala satu set lagi adalah untuk kegunaan beliau sendiri.
Mungkin bapa Aleeya begitu teruja dengan kaedah Mokhdar kerana selepas mengikuti program bengkel intensif tersebut selama lapan hari, adik Aleeya yang baru berusia lima tahun ketika itu telah menguasai darab sifar ke darab sembilan belas!
Sebaik keluar dari studio, teruklah aku dilanyak oleh bapa Fitriah, seorang pemastautin tetap dari Indonesia yang menyara hidup di Malaysia dengan membuka kedai runcit secara kecilan, dan ayah Sekinah, yang pada masa itu bertugas di sebuah firma binaan. Mereka menuduh bahawa aku mempermainkan mereka dan menganiaya anak-anak mereka. Kerana perbuatanku, mereka begitu malu mahu berhadapan dengan kaum keluarga dan orang kampung yang telah dihebahkan tentang kemunculan anak-anak mereka di TV.
Aku tidak menyalahkan mereka walaupun aku diasak bertubi-tubi sebaik melangkah keluar dari studio. Beberapa hari selepas itu mereka menghubungiku meminta maaf di atas keterlanjuran mereka. Kalaulah pihak petugas di RTM lebih profesional, peristiwa itu pasti tidak terjadi.

