Sunday, March 23, 2008

Pengalaman berurusan dengan Kementerian Pelajaran



Sejak melihat keberkesanan kaedah Mokhdar di dalam meningkatkan kemampuan minda setiap orang di dalam menyimpan, mengakses dan mengurus input atau maklumat di dalam minda, saya tak sabar mahu melihat ia dilaksanakan di sekolah-sekolah khususnya sekolah-sekolah kebangsaan kerana ia pasti akan memartabatkan sekolah-sekolah ini sebagai sekolah yang menghasilkan pencapaian terbaik pelajar di dalam peperiksaan-peperiksaan yang dijalankan. Semangat saya semakin membara kerana setiap kali memberi ceramah dan membuat demonstrasi kepada guru-guru, pelajar dan ibu bapa, mereka memberi sambutan yang amat memberangsangkan kepada ceramah saya. Sambutan ini terpancar jelas daripada sekian banyak reaksi dan petanda yang ditunjuk oleh mereka, antaranya, terus terpaku mendengar ucapan saya walaupun ada kalanya ceramah mengambil masa lebih daripada empat jam, tepukan bergemuruh yang diberi setiap kali mereka memahami hujah saya kenapa perkataan Melayu perlu jadi makin pendek dan bukan makin panjang dan kenapa kepentingan bahasa Inggeris tidak boleh diketepikan sama sekali, ucapan-ucapan para mc yang memberitahu hadirin bahawa mereka tidak pernah mendengar ceramah tentang matematik dan sains yang diberi sambutan sehebat sambutan yang diberi kepada ceramah saya, suasana pelajar, ibu bapa dan guru-guru yang berebut-rebut mahu mendapatkan tandatangan saya, ucapan semangat yang diberi kepada saya supaya meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara dan bersabar menghadai kerenah yang mahu memperlekehkan segala usaha saya, dan sebagainya lagi. Sokongan yang paling jelas yang menyebabkan saya mampu terus bertahan sehingga ke hari ini ialah jualan buku-buku mengenai kaedah Mokhdar yang amat laris yang memampukan saya menyelesaikan bil-bil hotel dan perjalanan, membayar gaji pekerja, membayar hutang-hutang lama dan baru dan seterusnya menyara anak isteri saya tanpa perlu meminta daripada sesiapa, malah tanpa perlu meminjam dari sesiapa untuk tujuan itu.

"Mokhtar harus bersedia mengharung dugaan. Jika idea ini ditemui oleh orang yang mempunyai kedudukan atau kuasa, sudah pastilah mereka akan melaksanakannya sepantas kilat supaya kedudukan dan kuasa mereka dapat diperkukuhkan lagi," demikian ucapan yang sering dibisikkan ke telinga saya.

"Most of our intellectuals are trapped inside their own intellectual minds," kata Prof.Madya Zahib bin Hj Deraman, pensyarah di Fakulti Ukur UTM, semasa memberi ucapan sebagai penasihat Kelab De Fikir, Universiti Teknologi Malaysia, dalam seminar bertajuk 'Mengasah Minda Matematika menerusi Kaedah Mokhdar' di Dewan Tengku Iskandar, kampus UTM Skudai, pada tahun 1994. Majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Naib Chanselor dari awal hingga akhir adalah anjuran bersama Kelab De Fikir dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Malaysia.

"Dulu saya pernah bertanya, kenapa Allah Subhanawataala tak lahirkan saya di zaman Tuanku Abdul Rahman atau Dato' Onn Jaafar, kerana jika saya lahir pada zaman mereka, pasti nama saya akan tercatat dalam sejarah sebagai tukang yang menolong mereka membawa bag James Bond mereka. Rupa-rupanya Allah Maha Kaya, Dia lahirkan saya untuk dipertemukan dengan Mokhtar Hj Mansor. Mokhtar Hj Mansor tidak membawa bag james bond di dalam melaksanakan perjuangannya, sebab tuan puan tengok sendirilah, dia 'ni memang amat simple orangnya, tak nampak pun tokoh seorang bekas majistret. Dia bawa buku di dalam melaksanakan perjuangannya, buku yang mengandungi idea-idea yang saya tahu amat hebat dan mampu mengubah bangsa. Nanti lepas ceramah 'ni, saya akan tolong Mokhtar jual buku-buku tulisan beliau, tuan puan tolong ambil gambar. Nama saya nanti, InsyaAllah, akan tercatat sebagai salah seorang yang membantu perjuangan Mokhtar Hj Mansor untuk bangsa dan negaranya - satu nama besar yang pengorbanan dan kesungguhannya tidak akan tuan puan tidak akan temui lagi di kalangan mana-mana penduduk Malaysia di zaman ini, yang sanggup mengenepikan segala kedudukan dan keselesaan hidup atas nama perjuangan untuk bangsa kita. Saya amat berbangga walaupun nama saya hanya tercatat sebagai orang yang membantu menjual buku-buku yang mengandungi idea-idea besarnya," kata Professor Madya yang sama ketika, tanpa dirancang sebelumnya, dijemput oleh Pengerusi untuk memberi ucapan mendahului ucapan saya dalam majlis untuk pegawai dan kakitangan FELDA di Segamat, Johor, dua hari selepas berlangsungnya seminar anjuran Kelab De Fikir di Universiti Teknologi Malaysia. Beliau sanggup memandu bersama anak-anaknya dari Johor Bharu ke Segamat untuk memberi sokongan kepada saya dengan turut hadir di dalam majlis yang dianjurkan oleh pihak FELDA tersebut.

"Demi kemajuan bangsa kita, saya berikrar yang kami akan pastikan yang kaedah ini akan diperkenalkan di sekolah-sekolah," kata Encik Khairuddin, Ketua Unit Matematik, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, selepas selesai majlis pembentangan kaedah Mokhdar di Pusat tersebut di Kompleks PPK Jalan Duta, juga pada tahun 1994. Malah mereka mencadangkan kepada saya supaya mulai menulis buku yang dapat digunakan untuk tujuan itu, sehingga saya naik 'perasan' dan memberitahu ahli-ahli keluarga saya yang tak lama lagi saya akan dibayar tak kurang daripada dua juta ringgit bagi hasil jualan buku-buku saya yang akan digunakan sebagai buku rujukan di sekolah-sekolah. Saya tak sabar mahu menenangkan hati Emak yang masih terkilan dan kesal dengan tindakan saya meletak jawatan pada penghujung tahun 1993.

"Idea Mokhtar dan kaedah Mokhdar ini mesti diketahui oleh rakyat negara kita terutamanya orang Melayu. Saya minta Mokhtar datang untuk sekurang-kurangnya lima belas kali lagi dan terangkan dengan sejelas-jelasnya tentang kaedah Mokhdar ini," kata Pengarah Radio kepada saya sebaik selesai memberi temu ramah radio mengenai kaedah Mokhdar bersama dengan Mariamah Tijo pada tahun 1994. Beliau turun ke konti khas untuk bertemu saya yang menurutnya membawa idea yang amat segar dan tidak diketahui masyarakat tetapi amat meyakinkan. "Saya pun tak terfikirkan selama ini, rupa-rupanya perkataan kita yang panjang menyebabkan pemikiran kita lambat dan seterusnya melambatkan pergerakan dan tindakan kita," kata beliau. Atas kehendak beliau, selama beberapa bulan selepas itu, setiap hari Selasa, dari jam empat hingga lima petang, suara saya pasti ke udara berbicara tentang kaedah Mokhdar. Hakikat sebenarnya ialah, saya sebenarnya berbicara tentang kepanjangan perkataan di dalam bahasa Melayu dan kaedah Mokhdar saya tonjolkan untuk menjadi sebagai antara bukti kebenaran penemuan dan pemikiran saya. Kecekapan Nur Idzham yang ketika itu belum pun berusia lima tahun menjawab dengan lancar setiap darab sifar hingga darab 19 kemudiannya menarik perhatian Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia yang kemudiannya menganjurkan seminar untuk saya yang liputannya diberi begitu meluas oleh semua media elektronik dan media cetak pada keesokan harinya, dengan sorotan selama beberapa hari selepas itu di akhbar dan majalah.

Di atas sekian banyak sokongan yang telah diberi dan penghargaan yang ditunjukkan kepada saya, pendirian saya semakin diperkukuhkan bahawa segala hasil penemuan dan kaedah yang saya bina bukanlah dengan tujuan untuk dikomersialkan, tetapi untuk diperjuangkan sehingga ia memberi manafaat kepada keseluruhan bangsa Melayu untuk membantu melonjakkan pencapaian mereka. Bagi saya, semakin ramai yang dapat memanfaatkan kaedah Mokhdar, semakin cepatlah ia diterima dan walaupun pihak birokrasi akan mengambil masa yang amat lama untuk menerimanya, namun rakyat menggunakannya. Generasi yang menerima kaedah Mokhdar dan mempraktikkan kaedah Mokhdar pada suatu hari nanti akan mengambil alih tampuk pemerintahan dan kepimpinan negara dan pada masa itu kaedah ini dan segala hasil penemuan dan pemikiran saya pasti akan diberi tempat di dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara tanpa perlu lagi melalui perjuangan yang amat perit yang telah saya lalui sejak sebelum meletak jawatan hinggalah ke hari ini.

Namun saya tidaklah menyangka ia akan mengambil masa begitu lama, sehinggakan, sehingga kini ia masih lagi tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya. Saya tidak menyangka yang ia akan mengambil masa yang begitu lama kerana segala bukti yang saya bentang adalah terpampang di hadapan mata, sama ada bukti-bukti imperial ataupun bukti-bukti daripada sekian banyak eksperimen-eksperimen yang dijalankan. (Kini, pada setiap minggu, saya mendengar pengakuan daripada sekurang-kurangnya seorang individu yang membuat pengakuan bahawa jika tidak kerana menggunakan kaedah Mokhdar atau terdedah kepada penggunaan kaedah Mokhdar, mereka, anak, murid atau orang yang mereka kenal tidak akan mencapai kedudukan sebagaimana yang mereka nikmati sekarang).

Dengan begitu ramainya individu yang membuat demikian, saya sendiri semakin hairan kenapa kaedah ini tidak dilaksanakan di sekolah, terutamanya di dalam kesungguhan dan keghairahan Y.B.Menteri Pelajaran sekarang iatu Dato' Seri Hishamuddin Hussein Onn berusaha pada tahap maksimum mahu memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan.

Kini, setelah melalui pengalaman berurusan dengan pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya di Pusat Perkembangan Kurikulum, baru saya dapat melihat dengan jelas kenapa kaedah tersebut tidak dilaksanakan di sekolah.

"Kaedah Mokhdar tidak bagus'kah?" tanya saya kepada seorang pegawai mereka yang membawa berita kononnya penerimaan kaedah Mokhdar untuk dijadikan projek rintis di 10 buah sekolah di Perlis adalah fifty-fifty.

"Bukan kaedah you tidak bagus. Masalah you ialah, you tidak ada orang dalam yang boleh menolong you."

"Bukankah projek rintis ini bermula daripada arahan Menteri Pelajaran sendiri?" saya meragui kata-katanya.

"Yang benar-benar berkuasa membuat keputusan dalam kes kaedah you 'ni bukannya menteri, tetapi kami."

"Habis apa yang dapat saya lakukan? Saya rasa arahan menteri sudah mencukupi untuk mempastikan segalanya berjalan lancar?"

"Beginilah. Kami boleh jadi orang dalam you untuk mempastikan segalanya berjalan lancar," kata beliau.

Kata-kata beliau membuat saya tersentak, tetapi saya menyembunyikan gelodak perasaan saya. Saya adalah seorang bekas Majistret Kanan, bekas Peguam Kanan Persekutuan merangkap Timbalan Pendakwa Raya Malaysia bagi negeri Kedah. Saya biasa menjadi sumber rujukan nasihat atau pandangan oleh BPR baik semasa menjadi Majistret Kanan apa lagi semasa menjadi Timbalan Pendakwa Raya, walaupun mereka mempunyai penasihat undang-undang mereka sendiri iaitu Peguam Kanan Persekutuan merangkap Timbalan Pendakwa Raya Malaysia untuk BPR. Walaupun dalam sejarah lebih daripada sepuluh tahun mengembara dari satu daerah ke satu daerah membuat pendedahan tentang kaedah Mokhdar, saya pernah menghadapi dua perbuatan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan wang dari saya, di dua buah tempat (yang lain daripada di atas jalan raya), kali ini situasi yang saya hadapi melibatkan seorang pegawai yang percaya mempunyai kelulusan agak tinggi dan mendapat kepercayaan penuh Kementerian Pelajaran kerana jika tidak, pasti dia tidak akan ditempatkan bahagian yang amat sensitif itu.

Saya cuba juga berbaik sangka dengan mengandaikan bahawa dia sebenarnya menawarkan diri untuk menjadi orang dalam tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan lain selain daripada kepuasan hati kerana dapat membantu mengetengahkan sesuatu yang akan menghasilkan perubahan besar terhadap kemajuan pelajaran anak bangsa. Namun, setelah beberapa ketika berlalu, dia tampak seperti tidak menyenangi saya walaupun di hadapan rakan-rakannya yang kuat menyokong perlaksanaan kaedah Mokhdar, dia berpura-pura memberi sokongan kepada saya.

"Kita mesti jemput Encik Mokhtar 'ni beri taklimat kepada pegawai-pegawai di tempat kita, biar minda pegawai kita terbuka untuk melihat idea-idea seperti ini," demikian antara dialog beliau dengan pegawai atasan beliau, di hadapan saya, pada suatu hari ketika saya mengunjungi PPK.

"Bukankah 'dah dibuat sebelum permulaan projek rintis tahun lalu?" saya tanya.

"Yang itu jemputan umum. Yang ini kita buat khusus untuk pegawai kita," kata beliau lagi. Itulah antara perlakuan beliau yang saya sendiri rasakan sebagai lakonan semata-mata kerana sejak program Mokhdar kedua bersama Kementerian Pelajaran di Langkawi, saya mulai dapat merasakan yang dia tidak menyenangi saya. Ia pastinya berkait rapat dengan kegagalan saya bertindak sebaik yang diharapkannya berhubung dengan tawaran 'kami' untuk menjadi orang dalam.

Pada bulan Jun 2007, saya menerima khabar kurang menyenangkan. Khabar itu ialah,Encik Wahab, ketua Unit Matematik yang pada mulanya menyanggah keberkesanan kaedah Mokhdar tetapi berubah 90 darjah selepas melihat sambutan pelajar dan guru-guru yang begitu meriah terhadap kaedah ini dalam ceramah di Sekolah Kebangsaan Abi, Perlis, yang turut dihadiri oleh pensyarah dan peserta kursus penggunaan sempoa (perlaksanaan projek rintis kaedah Mokhdar di sepuluh buah sekolah di Perlis adalah dengan menumpang budget sempoa) - malah Wahab kemudiannya menjadi pakar pengguna kaedah Mokhdar - telah dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Bahagian Kesihatan. Tak lama selepas itu saya menerima khabar yang lebih buruk - bahawa kursus yang telah dirangka oleh Unit Matematik oleh Encik Wahab untuk semua guru-guru matematik di seluruh negara telah dicantas oleh Ketua Bahagian Matematik dan Sains, Mr.Chia, dengan sokongan pegawai-pegawai yang mengambil alih tempat Encik Wahab.

Pada bulan lapan, seorang pegawai saya, Raja Faizal, tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu, menghantar e-mail kepada PPK, bertanya kepada kaedah Mokhdar tidak dilaksanakan di sekolah-sekolah sedangkan sekian ramai ibu bapa telah melihat betapa kaedah ini telah mengubah prestasi anak-anak mereka ke tahap yang mereka sendiri tidak mimpikan.

Dua bulan selepas menerima e-mail tersebut, pegawai yang telah menawarkan 'kami' untuk menjadi 'orang dalam' untuk mempastikan kelancaran perlaksanaan kaedah Mokhdar menerusi PPK, membalas e-mail Raja Faizal menggunakan sms, memberitahu beliau bahawa projek rintis tersebut telah dilaksanakan di Perlis. "Sila sampaikan kepada Encik Mokhtar bahawa guru-guru yang terlibat dalam perlaksanaan kaedah tersebut di sepuluh buah sekolah yang terlibat memberi penilaian yang amat buruk terhadap kaedah Mokhdar".

"Engkau balaslah balik, kalau ada orang dalam, pastilah kaedah ini diberi penilaian yang amat baik oleh guru-guru itu," kata saya kepada Raja Faizal, merujuk kepada kisah yang pernah saya ceritakan kepada beliau tentang tawaran 'kami' tersebut.

Ikuti pengalaman saya berurusan dengan pegawai-pegawai di Kementerian Pelajaran Malaysia sejak kaedah ini mulai saya perkenalkan sejak 1989. Catatan yang agak terperinci mengenai pengalaman tersebut telah saya siapkan, dan ia akan diterbitkan sebagai sebuah buku dengan harapan hasil jualannya akan dapat menampung kos perjuangan menyebarkan kaedah ini yang semakin hari semakin meningkat.

Walaupun akhirnya projek rintis kaedah Mokhdar - yang menumpang budget sempoa - yang dijalan di 10 buah sekolah di Perlis dikatakan diberi penilaian yang buruk oleh guru-guru yang terlibat (yang bertentangan dengan maklumat langsung yang saya terima daripada lapan daripada 10 guru-guru yang terlibat), namun tindakan Pusat Perkembangan Kurikulum, pihak yang melaksanakan program tersebut, mencetak 120000 naskah buku "Modul Kemahiran Asas Mengira" dan mengedarnya ke hampir semua sekolah kebangsaan di Malaysia yang sebahagian yang signifikan di dalam buku tersebut mengandungi kaedah Mokhdar [(lihat gambar-gambar di atas : (1) Kulit buku terbitan PPK yang sebahagian besar dan signifikannya mengandungi kaedah Mokhdar, dan (2) Antara kandungan buku tersebut yang jelas mencabul hakcipta kaedah Mokhdar kerana diterbitkan tanpa kebenaran pemilik hakcipta)] , bukan sahaja contradicting mesej dalam sms terakhir yang dihantar kepada pegawai saya oleh pegawai di Unit Matematik PPK berkenaan, tetapi juga mengundang implikasi perundangan yang amat besar terutama dari segi pencabulan hakcipta saya sebagai pelopor dan penulis buku-buku mengenai kaedah Mokhdar yang kandungannya dicetak tanpa izin saya oleh pihak PPK.

Walaupun telah berbincang dengan firma peguam yang specialised di dalam undang-undang hakcipta, saya masih menunggu dan melihat tindakan lanjut daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sementara tempoh statutory limitation period masih memberi saya ruang untuk mengambil tindakan.

*************

Setelah menemui suatu fakta pada tahun 1986, bahawa sebutan nombor dan perkataan di dalam bahasa Melayu adalah panjang dan ini menghasilkan kelambatan penggunaan bahasa Melayu sebagai software minda dan juga kelambatan di dalam komunikasi yang seterusnya menghasilkan kos yang lebih tinggi bagi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengurusan dan bahasa komunikasi, saya menulis surat kepada YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Dr.Mahathir, meminta supaya sesuatu dilakukan bagi mereformasikan bahasa Melayu untuk tujuan reformasi bangsa. (baca catatan-catatan saya di dalam blog ini dan blog-blog berkaitan).

Ketika Penasihat Khas Kementerian Pelajaran Malaysia, Tan Sri Awang Had Salleh hadir ke Teluk Intan dan menjadi Pemikir Tamu di dalam majlis Viva Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi tulisan saya, anjuran Persatuan Karyawan Perak yang saya menjadi Ketua Satunya ketika itu, diadakan di Teluk Intan pada tahun 1990, beliau memberitahu saya yang Dato' Aishah, Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu telah menyatakan hasrat kepadanya mahu bertemu saya.

Saya cuba menghubungi beliau menerusi telefon, namun dalam percubaan ketiga saya, beliau masih tidak dapat dihubungi di pejabatnya. Operator di Kementerian Pelajaran menghalakan panggilan saya kepada Dr.Munirah, kalau tak silap, pegawai khas beliau pada masa itu. Apabila saya memperkenalkan diri, tiba-tiba beliau berkata, "Hold on, Encik Mokhtar. It seems that you are doing so much of educationists job, do you have time to do your own?"

Saya yang memahami sindiran beliau, terus berkata, "Can I get your clearer meaning?"

"Ialah, nampaknya you melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dibuat oleh educationists. Macam mana dengan kerja you, 'dah siapkah written judgements you atau banyak yang tertangguh? I heard that there are so many written judgments not yet written."

Jelas bahawa nada suaranya amat tidak menyenangi saya, atau mungkin beliau cuba berseloroh. Bagaimanapun saya amat tidak menyenangi dialognya.

"With greatest respect to you, Dr.Munirah, I am not doing your job at all. I am just doing my job as a parent to my children, and all the way long, I've found somethings that I feel I must share them with you for the benefit of all our children, so, would you take this as stepping into your shoes?" saya bertanya separuh membentak.

"Yeah, you may be right," kata beliau.

"And for your information, I am doing my job just fine. I am using my laptop on my bench, the litigants can straight away get my type-written notes of evidence, a complete one, and they even get my written judgments less than half an hour after the making of my decisions. You may come and visit my court."

Beliau lalu menetapkan waktu untuk pertemuan dan perbincangan kami, namun dengan nada suaranya yang kedengaran seperti tidak begitu menghargai pertemuan itu, saya membatalkan hasrat untuk bertemu dan berbincang dengannya.

(BERSAMBUNG)