Monday, April 20, 2009

Kaedah Mokhdar disebut di MHI

"En.Mokhtar'kah 'tu?"

"Ya, sayalah."

"Alhamdulillah. En.Mokhtar tengok tak program MHI pagi ini?"

"Pagi ini, tidak," jawab saya. Jantung saya terus berdegup, takut kalau-kalau ada pihak yang menghentam saya di MHI.

"Ada seorang konsultan 'tu .. saya lupa nama syarikatnya. Dia bawa pelajar yang cekap mencongak dan mengingat macam yang En.Mokhtar selalu buat 'tu. Dia memberitahu yang dia menggunakan kaedah Mokhdar."

Saya tergelak - seronok kerana ada bukti hidup - maksudnya bukti yang dibawa oleh seorang lain yang tidak ada kaitan dengan saya atau iklan yang selalu saya papar di akhbar. Ini membuktikan yang kaedah Mokhdar sememangnya amat bernilai dan semakin mendapat tempat.

"Ada atau tidak dia mendapat izin En.Mokhtar sebelum menggunakan kaedah ini dalam program komersial?"

Gelak saya terhenti. Barulah maksud perkataan 'konsultan' itu bermain semula dalam benak saya.

"Dari satu sudut, saya seronok sangat mendengar khabar ini. Ada orang yang gunakan, dan memangnya saya redha ia digunakan. Tapi dari sudut, ada juga rasa sedih. Saya selalu katakan kepada audien saya, gunakanlah dan ajarkan kaedah ini kepada semua, ilmu itu sedekah. Tetapi bila kenakan bayaran, ingat-ingatlah saya sama sebab saya menanggung kos dan beban hutang yang tak tertanggung kerana mempromosikan idea ini. Memang mentaliti orang kita begitu."

"Dia memang tak contact En.Mokhtar?"

"Langsung tidak. Tapi ... memang dia sebut dia guna kaedah Mokhdar?" tanya saya meminta kepastian yang lebih kukuh. Ini kerana ada kalanya orang menyangka kaedah kira cepat menerusi kaedah chunking (kira dari kiri ke kanan) adalah kaedah Mokhdar, sedangkan kaedah tersebut, walaupun tidak dimasukkan ke dalam kurikulum, telah diajar oleh guru-guru di sekolah sejak zaman sebelum merdeka lagi.

"Dia memang sebut. Dia sebut dia guna kaedah Mokhdar. Yang saya pelik 'tu, bagaimana sebuah syarikat lain boleh mempergunakan nama kaedah Mokhdar sesuka hati."

Saya gelak semula - gelak antara rasa seronok dan rasa pahit.

"Sebenarnya bila dia sebut dia gunakan kaedah Mokhdar, itu menunjukkan kejujurannya dan dia memberi penghargaan kepada saya. Tetapi yang tak seronoknya dia adalah seorang konsultan dan pastinya dia menjalankan program menggunakan kaedah saya. Dari satu sudut, ia adalah rahmat untuk masyarakat kerana ternyata kaedah yang tidak dipedulikan oleh Kementerian Pelajaran ini telah terbukti membantu pelajar-pelajar kita melonjakkan prestasi mereka. Satu sudut lagi, ia adalah seperti bencana bagi saya kerana saya yang terpaksa berhempas pulas berjuang membina dan mempromosikan kaedah ini selama lebih daripada enam belas tahun terpaksa menahan air liur melihat mereka yang telah mendapat faedah daripada kaedah ini menggunakannya pula untuk mengkayakan diri mereka mungkin semata-mata kerana mereka ada modal dan saya cuma ada air liur. Mungkin ini nasib yang perlu ditanggung oleh orang seperti saya."

"En.Mokhtar tak mahu saman?"

"Mungkin saya boleh saman dia dan TV3 kerana menggunakan nama saya tanpa izin saya. Tapi ... perkara macam 'ni memang sukar hendak diputuskan. Saya terperangkap di antara keinginan membantu bangsa saya - walaupun ia mungkin tidak diiktiraf oleh orang lain - dengan keperluan sara hidup saya dan keluarga saya. Anak-anak saya sekarang telah ada seperti mulai menyalahkan saya kerana sesuatu milik saya yang boleh memberi kesenangan dan kemewahan hidup kepada mereka telah saya serahkan begitu sahaja kepada masyarakat walaupun saya terpaksa berhempas pulas bergolok bergadai malah bergadai nyawa diri dan keluarga saya tetapi hasil kewangannya begitu mudah pula dipetik oleh orang lain - dan saya terus tidak dihargai oleh masyarakat."

"Ramai yang menghargai En.Mokhtar. Yang tidak menghargai hanya Kerajaan kita. Mungkin belum sampai masanya."

"Betul juga 'tu. Tetapi jangan terkejut kerana ada seorang pensyarah yang telah membuat pengakuan dengan jelas dan terang bahawa dia telah berubah daripada seorang yang amat lemah dalam subjek matematik dalam peperiksaan UPSR dan PMRnya dan menjadi pelajar terbaik sekolah malah bertukar ke aliran sains setelah memasuki matrikulasi, bila dia mendapati yang kedudukan kewangan saya tidak begitu baik dan syarikat saya tidak begitu established, dia telah menghantar mesej kepada saya mengandungi kata-kata meminta saya tidak mengaitkan dia lagi dengan kaedah Mokhdar."

"Jangan risau, En.Mokhtar. Anak-anak saya terus gunakan kaedah Mokhdar dan lonjakan mereka memang ketara selepas ikuti program ini, walaupun kemahiran mereka tidaklah seperti kemahiran yang ditunjuk oleh En.Mokhtar dan anak-anak. InsyaAllah, mereka tidak akan melupakan jasa-jasa En.Mokhtar."

"Sebenarnya bagi saya, mereka tidak perlulah memiliki kemahiran seperti yang saya tunjukkan walaupun jika memilikinya, tugas mereka jadi benar-benar jauh lebih mudah dan beban belajar mereka jadi benar-benar ringan. Jika setelah menghadiri program lapan hari itu mereka telah menunjukkan perubahan yang drastik dalam pencapaian mereka, itu sudah mencapai tujuan encik menghantar mereka dan tujuan saya memperjuangkan kaedah ini untuk agama, bangsa dan negara kita. Kalau nak miliki kemahiran seperti yang ada pada saya dan anak-anak, mereka kenalah hadiri kursus yang lebih banyak."

"Bila En.Mokhtar nak jalankan program ini di Utara? Saya nak hantar anak-anak saya dan nak bawa seramai mungkin rakan-rakan saya."

"Dulu memang saya selalu jalankan program ini di luar Lembah Kelang. Tapi banyak masalah. Masalah logistik satu hal, masalah duit kita dikebas oleh kakitangan curang satu hal lagi."

"Itu memang biasa."

"Betullah. Tapi sanggupkah mereka memberi makan anak isteri mereka dengan wang haram? Sedangkan mereka melihat sendiri bagaimana saya berhempas pulas berbelanja dan melakukan segala yang perlu bagi melaksanakan vision saya."

"Tak usah risau, En.Mokhtar. Allah Maha Berkuasa. Biar mereka menerima balasan yang setimpal. Beginilah, saya akan cuba hantar anak-anak saya ikuti program En.Mokhtar. Kalau nak buat di Utara, cepat-cepatlah bagi tahu saya. Kalau tidak, saya akan cuba hantar ke tempat encik."

"Terima kasih. Saya simpan nombor telefon encik dan saya akan hubungi encik jika ada apa-apa perkembangan yang perlu saya beritahu."

"Saya yang patut ucap terima kasih kepada En.Mokhtar. Saya akan hubungi En.Mokhtar lagi. Assalamualaikum."

"Waalaikummussalam."

Catatan :
Tarikh kemunculan konsultan yang membawa anak-anaknya yang menunjukkan kecekapan luar biasa di dalam pengurusan ungkapan mathematical dan mengaku memiliki kecekapan tersebut kerana menggunakan kaedah Mokhdar ialah Selasa 21hb April 2009. Selain daripada panggilan daripada bekas pengurus Bank Bumiputra cawangan Pokok Sena, Kedah, terdapat banyak panggilan dari pemanggil-pemanggil lain yang menyatakan perkara yang sama.